Maszlee: Pelajar pakai kasut hitam mulai tahun depan

Maszlee Malik (kanan) mencadangkan universiti tempatan menambah pendapatan dengan mengaktifkan alumni dan penjualan nombor pendaftaran khas oleh JPJ, di mana sebahagian bayaran akan disalurkan kepada universiti. (Gambar Bernama)

SHAH ALAM: Menteri Pendidikan, Maszlee Malik mengumumkan semua pelajar sekolah rendah dan menengah dibenarkan memakai kasut hitam mulai tahun depan.

“Ini harapan ramai ibu bapa, terutamanya ibu. Jadi, bermula tahun depan, pihak kementerian membenarkan semua pelajar pakai kasut hitam di sekolah,” katanya dalam program Bicara Minda Bersama Menteri Pendidikan, hari ini.

Beliau berkata, antara rancangan kementerian untuk 5 tahun akan datang ialah memastikan pelajar tidak perlu menggalas beg berat mulai tahun depan.

“Pedulikan statistik daripada kajian, pelajar tak akan dibebankan dengan beg berat lagi.”

Katanya, Kementerian Pendidikan juga akan mengkaji memendekkan tempoh persekolahan untuk membolehkan pelajar terus memasuki universiti tanpa melalui 2 tahun program matrikulasi atau tingkatan 6.

Beliau berkata, pelajar di negara lain hanya bersekolah 12 tahun, tetapi rakyat Malaysia perlu melalui zaman persekolahan selama 13 tahun, termasuk 2 tahun sebelum memasuki universiti.

“Mereka 12 tahun terus masuk universiti, kerana apa? Kerana sistem sekolah dan peperiksaan mereka mempunyai nilai tinggi yang boleh digunakan di seluruh negara.”

Katanya, kerajaan juga akan berusaha untuk menjadikan sekolah kebangsaan sebagai pilihan utama rakyat.

“Saya rasa lebih penting guru gembira pergi ke sekolah dan murid tidak akan ponteng sekolah lagi. Lebih penting ibu bapa meletakkan kepercayaan tinggi kepada guru dan sekolah.”

Maszlee turut mencadangkan pendapatan universiti tempatan ditambah dengan mengaktifkan alumni dan penjualan nombor pendaftaran kenderaan.

“Alumni-alumni universiti kena bergerak aktif dan menyumbang kembali duit kepada universiti dan kita ada perbincangan dengan Kementerian Pengangkutan, iaitu melalui Jabatan Pengangkutan Jalan, di mana universiti berpakat dengan JPJ menjual plat nombor khas.

“Contohnya saya graduan Universiti Malaya (UM), saya nak beli plat pendaftaran kereta UM 1000 atau UM 2322, jadi kita beli plat pendaftaran dari JPJ dan separuhnya akan disalurkan kepada universiti.

“Dengan cara tersebut, insya Allah dapat menjana duit untuk universiti.”