Adun Balakong maut dalam kemalangan

Ng Tien Chee dari DAP menang pada PRU14 lalu mengalahkan Lim Chin Wah (BN) dan Mohamad Ibrahim Ghazali (PAS) dengan kelebihan 35,538 undi.

KUALA LUMPUR: Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Balakong Ng Tien Chee maut dalam kemalangan di KM11.7 Lebuhraya Grand Saga, awal pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira 12.30 pagi itu, Ng, 40, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Ahmad Dzaffir Mohd Yussof yang mengesahkan insiden itu, berkata ketika kejadian Ng dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur ke Kajang.

Kemalangan dipercayai berpunca apabila kenderaan jenis Nissan x-Trail yang dipandu mangsa melanggar belakang sebuah lori.

“Akibat pelanggaran itu, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Ahmad Dzaffir berkata mayat mangsa dibawa ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.

Pada pilihan raya umum ke-14 lalu, Ng mengalahkan 2 pencabar, masing-masing daripada BN, Lim Chin Wah dan Mohamad Ibrahim Ghazali (PAS), dengan kelebihan 35,538 undi.

Ng memperoleh 41,768 undi berbanding Lim (5,875 undi) dan Mohamad Ibrahim (6,230).