Istilah ‘penjawat awam’ perlu definisi jelas, kata hakim

Ia merujuk kes saman ‘misfeasans’ difailkan semula Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua Wee Kiam Wee terhadap bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak dan kerajaan.

PUTRAJAYA: Seorang hakim Mahkamah Rayuan mengesyorkan agar Mahkamah Persekutuan mahupun badan perundangan memberikan definisi yang lebih jelas mengenai siapakah yang boleh ditakrifkan sebagai penjawat awam.

Hakim Datuk Yeoh Wee Siam berkata sudah tiba masa untuk memutuskan atau menyediakan definisi jelas penjawat awam bagi permohonan “misfeasans” atau salah guna kuasa dalam jawatan awam.

Beliau berkata demikian ketika merujuk kes saman misfeasans seperti difailkan semula oleh Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua Wee Kiam Wee terhadap bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak dan kerajaan.

Dalam penghakiman 20 halaman yang dikeluarkan hari ini, beliau berkata panel 3 hakim Mahkamah Rayuan yang menolak rayuan Pua itu memutuskan untuk tidak berganjak daripada keputusan yang dibuat oleh sebuah lagi panel Mahkamah Rayuan dalam satu lagi kes.

Beliau berkata dalam kes Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Najib, katanya, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa Najib ketika itu perdana menteri bukan seorang penjawat awam.

Menurutnya, setakat ini, keputusan Mahkamah Rayuan dalam kes Dr Mahathir yang memutuskan Najib bukan penjawat awam kekal selepas permohonan Dr Mahathir bagi mendapatkan kebenaran merayu dalam kes samannya ditolak Mahkamah Persekutuan.

Yeoh berkata tidak ada alasan untuk mahkamah berganjak daripada keputusan dalam kes Dr Mahathir, sambil berkata bahawa ia bukan untuk Mahkamah Rayuan dalam kes sekarang (Pua lawan Najib) untuk menyemak semula keputusan kes Dr Mahathir atau mengeluarkan keputusan tidak konsisten dengan apa yang diputuskan sebelum ini.

Dalam kes Dr Mahathir, Yeoh berkata Mahkamah Rayuan mentafsirkan “penjawat awam” dan “perdana menteri” sebagai 2 entiti berbeza di mana perdana menteri bukan seorang penjawat awam tetapi anggota pentadbiran dan “penjawat awam” adalah anggota dalam perkhidmatan awam.

Menurutnya, dalam penghakiman kes Dr Mahathir, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa penjawat awam dilantik oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam manakala perdana menteri dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.

Beliau berkata tuntutan Pua terhadap Najib atas dakwaan salah laku dalam mengendalikan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak boleh dipertahankan dan perlu ditolak kerana bekas perdana menteri itu bukan penjawat awam.

Beliau berkata mungkin tidak ada alasan kukuh dalam dakwaan salah laku dalam jawatan awam jika Pua tidak dapat membuktikan bahawa Najib adalah penjawat awam.

Katanya, mahkamah tidak dibenarkan mengguna pakai undang-undang umum bagi makna “penjawat awam” apabila terdapat undang-undang bertulis yang dikuatkuasakan di Malaysia bagi mentakrifkan maksud perkataan tersebut.

Yeoh berkata tafsiran “ánggota pentadbiran” menurut Seksyen 3 Akta Tafsiran 1948 dan 1967 dan Perkara 132(1), 132(2) dan 160(2) Perlembagaan Persekutuan menyatakan seorang perdana menteri bukan seorang penjawat awam.

Pada 13 April lepas, panel 3 hakim terdiri daripada Datuk Ahmadi Asnawi, Datuk Kamardin Hashim dan Yeoh menolak rayuan Pua untuk mengenakan semula tuntutan saman terhadap Najib dan kerajaan yang sebelum itu ditolak oleh Mahkamah Tinggi.

Pada 16 Jan tahun lepas, Pua selaku plaintif menyaman kerajaan dan Najib selaku defendan pertama dan kedua atas dakwaan Najib terlibat dalam salah laku pentadbiran awam dan kerajaan membabitkan dana 1MDB serta menuntut ganti rugi am, tambahan dan teladan, faedah, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Mahkamah Persekutuan menetapkan 5 Nov ini untuk mendengar permohonan Pua untuk menuntut kebenaran merayu.

Sementara itu, Dr Mahathir dan bekas naib pengerusi Umno bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan memfailkan saman yang mendakwa Najib melakukan perbuatan salah laku dalam jawatan awam dan pentadbiran membabitkan kes 1MDB.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Najib untuk membatalkan saman tersebut dan Mahkamah Rayuan turut mengekalkan keputusan tersebut selepas menolak rayuan Dr Mahathir terhadap keputusan itu.

Mahkamah Persekutuan menetapkan 6 Ogos ini untuk mendengar permohonan semakan kehakiman yang difailkan oleh Dr Mahathir dan Khairuddin.