Calon Wan Azizah: Azmin nafi dakwaan Umno, anggap taktik pecahkan PH

PH menamakan Zawawi, pengetua Maahad Tahfiz Al Fateh, Jalan Kebun dan setiausaha Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama PKR untuk mempertahankan kerusi DUN Sungai Kandis.

SHAH ALAM: Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menafikan dakwaan Umno bahawa beliau kecewa dengan pencalonan Zawawi Mughni, yang dikatakan dipilih Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail, sebagai calon pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis.

Beliau berkata, dakwaan itu hanyalah taktik Umno dan Barisan Nasional (BN) untuk memecah belahkan perpaduan PH.

“Dalam PKR dan PH kita sering berbincang dan membuat keputusan secara muafakat dan konsensus,” katanya ketika ditemui di luar Dewan Besar Tanjung, Majlis Bandaraya Shah Alam di Seksyen 19.

Azmin hadir hari ini bersama pimpinan PKR dan PH bagi menyokong calon mereka di Sungai Kandis.

Semalam calon BN di Sungai Kandis, Datuk Lokman Noor Adam berkata rakan-rakannya memberitahu bahawa Wan Azizah meletakkan Zawawi tanpa mengambil kira pandangan timbalannya itu.

“Ramai rakan-rakan di Sungai Kandis tidak berpuas hati dengan calon pilihan Wan Azizah. Azmin dan rakan-rakan beliau kecewa ia dilakukan tanpa merujuk kepadanya,” kata calon BN itu semalam.

PH menamakan Zawawi, seorang pengetua Maahad Tahfiz Al Fateh, Jalan Kebun dan setiausaha Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama PKR untuk mempertahankan kerusi itu.

Pada pilihan raya umum lepas, PKR menang di kerusi itu untuk penggal ketiga dengan majoriti 12,480 undi menewaskan calon BN, PAS dan Parti Rakyat Malaysia.

Kerusi Sungai Kandis kosong susulan kematian penyandangnya, Mat Shuhaimi Shafiei awal bulan lalu akibat kanser limfoma.

Azmin berkata PH komited untuk mencalonkan Zawawi sebab beliau merupakan calon bersih dan PKR pula komited untuk mengekalkan kerusi ini di tangan PH.

Beliau juga menegaskan Zawawi adalah calon PKR, bukannya calon beliau maupun Wan Azizah, sebaliknya calon PH.

“Kita ada proses perbincangan di peringkat cabang dan negeri yang tidak berlaku dalam BN kerana calon parti itu ditentukan oleh pimpinan diktatornya,” kata beliau.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2018/07/21/penamaan-calon-prk-sungai-kandis-bermula-9-pagi-hari-ini/

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2018/07/20/lokman-noor-adam-calon-bn-prk-sungai-kandis/

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2018/07/19/pkr-pilih-pengetua-tahfiz-zawawi-pertahan-sungai-kandis/