PH diskriminasi wakil rakyat pembangkang, kata penganalisis

Wong Chin Huat menyeru persaingan yang adil.

KUALA LUMPUR: Penganalisis politik Wong Chin Huat membidas kerajaan Pakatan Harapan kerana mendiskriminasikan wakil-wakil rakyat pembangkang dengan memberikan peruntukan kawasan yang lebih kecil.

Penganalisis di Institut Pulau Pinang itu berkata langkah itu sama seperti membunuh parti-parti pembangkang dengan menghalang mereka mendapatkan sokongan pengundi.

“Jika pengundi mahukan wang itu, mereka akan mengundi kerajaan, kan? Kamu membunuh parti itu secara perlahan kerana mereka tak boleh hidup tanpa wang,” katanya di forum mengenai dana politik hari ini.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bulan lepas berkata kerajaan akan menyediakan RM500,000 kepada Ahli Parlimen PH dan RM100,000 kepada Ahli Parlimen Barisan Nasional untuk berkhidmat kepada kawasan masing-masing.

Wong berkata rakyat berhak mengundi sesiapa sahaja yang mereka mahu. Mereka bukan sahaja perlu memilih kerajaan yang bagus tetapi juga pembangkang yang bagus.

“Persaingan akan menjadikan parti-parti politik lebih produktif,” katanya, dan menambah Malaysia patut menyediakan dana awam untuk memudahkan persaingan pelbagai parti.

Ahli ekonomi politik Terence Gomez pula berkata parti politik yang memperoleh sejumlah undi tertentu di peringkat negeri atau persekutuan mestilah berhak menerima dana awam untuk menjalankan operasi parti.

Bagaimanapun, “mereka patut melapor dan mendedahkan sumber dana mereka jika mahu wang kerajaan,” katanya.

Mereka yang bercakap di forum itu termasuk Pengarah Eksekutif C4, Cynthia Gabriel, Ahli Majlis Tertinggi PPBM, Wan Saiful Wan Jan, dan bekas timbalan ketua setiausaha Kementerian Kewangan, Tan Sri Ramon Navaratnam.