‘Pakej istimewa’ untuk pesalah rasuah di penjara Sukamiskin, Bandung

Komisi Pemberantasan Korupsi Indonesia (KPK) menahan 4 suspek, iaitu ketua penjara berkenaan, seorang staf penjara dan 2 banduan yang sedang menjalani hukuman, tetapi berada di luar penjara. (Gambar Facebook)

JAKARTA: Penjara Sukamiskin di Bandung yang dikhususkan untuk pesalah rasuah, rupa-rupanya turut menawarkan “pakej istimewa” untuk penjenayah terbabit.

Pesalah rasuah yang menjalani hukuman boleh mendapatkan pakej istimewa “sel penjara mewah dan pakej bebas keluar masuk penjara” dengan bayaran sebanyak Rp200 juta hingga Rp500 juta.

Menerusi bayaran atau sogokan rasuah itu, banduan di penjara yang terletak di Jalan AH Nasution Kota Bandung itu akan memegang sendiri kunci sel penjara, membolehkan mereka bebas keluar dan masuk sesuka hati.

Timbalan Pengerusi Komisi Pemberantasan Korupsi Indonesia (KPK) Laode Muhammad Syarif berkata, KPK menahan 4 suspek, iaitu ketua penjara berkenaan, seorang staf penjara dan 2 banduan yang sedang menjalani hukuman, tetapi berada di luar penjara, semalam.

Ketua Penjara Sukamiskin, Wahid Husen yang baru 4 bulan menjawat jawatan itu ditahan Sabtu malam di rumahnya di Bandung dan KPK turut menemui wang berjumlah ratusan juta rupiah, dipercayai berkaitan bayaran pakej berkenaan, kata Laode Muhammad.

Hasil siasatan dan serbuan pasukan KPK di penjara itu semalam mendapati terdapat beberapa sel penjara diubahsuai seperti kamar hotel dilengkapi penghawa dingin, televisyen dan peti sejuk untuk mereka (banduan) yang membayar harga pakej berkenaan.

Media di Indonesia melaporkan, antara banduan yang ditahan ialah suami artis popular Indonesia era 1990-an, Inneke Koesherawati.

Suaminya, Fahmi Darmawansyah, seorang usahawan dijatuhi hukuman penjara 2 tahun 8 bulan atas kesalahan rasuah pada Mei tahun lepas.

KPK turut menyoal siasat Inneke berhubung penahanan suaminya itu.

Kementerian Uandang-Undang dan Hak Asasi Manusia Indonesia dilaporkan turut menjalankan siasatan berhubung pendedahan dan tangkapan KPK.