GST, SST dua-dua sakitkan rakyat, kata Hadi

Hadi Awang turut mendesak kerajaan membayar royalti kepada negeri pengeluar minyak berdasarkan perjanjian yang dibuat antara kerajaan negeri dengan pusat dan Petronas yang termeterai sejak 20 tahun lalu.

KUALA LUMPUR: Tindakan kerajaan mengubah sistem cukai barangan dan perkhidmatan (GST) kepada cukai jualan dan perkhidmatan (SST) tidak memberi kesan besar bagi pengurangan kos sara hidup rakyat, kata Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Rakyat tidak mampu menghadapi tekanan inflasi yang tidak terkawal, walaupun penyelesaian ditawarkan dalam manifesto, kerajaan hendaklah menangani bukan sekadar menukar GST kepada SST. Ibarat mencubit tangan kanan dan kemudian mencubit tangan kiri, sakitnya sama atau lebih sakit lagi.

“Ia hendaklah ditangani dengan tanggungjawab, bukan sekadar percukaian yang meringankan beban kerajaan, tetapi beban rakyat,” kata Hadi (PAS-Marang) ketika membahaskan usul titah Yang di-Pertuan Agong.

Hadi mendesak kerajaan pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad menunaikan segala janji yang dibuat menerusi manifesto Pakatan Harapan (PH).

“Manifesto ini memang bukan kitab suci tapi satu janji. Kitab suci mewajibkan kita tunai janji, ini hakikat yang perlu kita pegang, bukan sahaja orang Islam, ia termasuk penganut semua agama,” katanya.

Beliau turut mendesak kerajaan membayar royalti kepada negeri pengeluar minyak berdasarkan perjanjian yang dibuat antara kerajaan negeri dengan pusat dan Petronas yang termeterai sejak 20 tahun lalu.

“Perlu dirujuk perjanjian itu, tak boleh langgar perjanjian,” katanya menjawab pertayaan tambahan Datuk Seri Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau) yang merujuk kepada kenyataan perdana menteri sebagai berkata bayaran 20% bukan mutlak tapi berdasarkan keuntungan Petronas.

Hadi berharap kerajaan pimpinan Dr Mahathir tidak meneruskan amalan yang ditinggalkan penjajah di mana kerajaan negeri mempunyai kuasa yang terhad.

“PAS paling berpengalaman memerintah kerajaan negeri, yang paling merasa betapa konsep federalisme yang boleh dicabul. Kita harap kerajaan pusat menghormati pilihan kerajaan negeri, sekiranya kerajaan pusat mahu kepada perubahan betul-betul positif, ia mesti diambil kira, jangan mengulangi amalan di zaman penjajah.

“Kedudukan negeri pantai timur juga Malaysia timur Sarawak dan Sabah mengikut cara yang di zaman penjajah dulu hendak diubah kerana daerah ini diperah hasil bumi mereka yang kaya.

“Dalam keadaan rakyat majoritinya Bumiputra masih tertinggal dengan kemudahan yang diabaikan seperti pelaburan dan industri,” katanya mengulas sikap keterbukaan kerajaan baharu dalam mengamalkan konsep federalisme yang sebenar.