Kenapa pemimpin DAP membisu sentimen ‘anti-Islam’ Ramasamy, soal Asri

PETALING JAYA: Mufti Perlis mempersoalkan kepimpinan DAP mendiamkan diri terhadap dakwaan mengaitkan seorang pemimpin kanannya dengan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), kumpulan pemberontak yang terbabit dalam perang saudara selama beberapa dekad di Sri Lanka yang mengorbankan ratusan ribu orang awam.

“Saya merasa dukacita dan hairan dalam hal ini kerana tiada pimpinan DAP yang bersuara,” kata Datuk Mohd Asri Zainul Abidin kepada Utusan Malaysia, merujuk laporan polis dibuat terhadap Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, P Ramasamy yang didakwa menyokong LTTE yang diisytiharkan organisasi pengganas di banyak negara.

“Saya tidak pasti adakah kerana mereka hendak menunggu siasatan polis atau bagaimana. Namun, sekurang-kurangnya saya berharap pemimpin DAP dapat meminta polis menyiasatnya (pembabitan Ramasamy dengan LTTE).”

Baru-baru ini, Asri dan beberapa individu yang rapat dengannya mendesak Ramasamy menjelaskan gambar pemimpin DAP Pulau Pinang itu dengan pemberontak, termasuk satu daripada gambar itu yang menunjukkan beliau memberi penghormatan kepada imej sepucuk senapang kalashnikov.

Ini disusuli serangan berterusan Ramasamy ke atas Dr Zakir Naik yang dikehendaki atas dakwaan keganasan di India.

Asri mempertahankan Zakir dan mempersoalkan gesaan untuk Putrajaya mengekstradisi pendakwah Islam itu ke India.

Jumaat lalu, sekumpulan umat Islam yang diketuai seorang individu rapat dengan Asri mengadakan protes di luar sebuah masjid di George Town, Pulau Pinang, untuk menyokong Zakir dan menggesa pihak berkuasa menahan Ramasamy atas sokongannya kepada LTTE.

Mereka turut mendakwa Ramasamy hipokrit kerana pernah membantah tindakan kerajaan mengusir lelaki dikaitkan dengan LTTE ke Sri Lanka, tetapi kini menggesa Zakir dihantar pulang ke India.

Asri berkata, Ramasamy bersikap dwistandard dan mempunyai sentimen anti-Islam, ciri-ciri yang sama dalam perjuangan LTTE.

“Saya dapat melihat sikap anti-Islam yang ada pada Ramasamy, mempunyai ciri-ciri yang serupa dalam perjuangan LTTE,” katanya sambil menambah kumpulan pemisah itu membunuh ramai penduduk kampung Islam dalam usaha mewujudkan sebuah negara berasingan untuk orang Tamil di Sri Lanka.

Asri berkata, pihak berkuasa sebelum ini mengambil tindakan terhadap penyokong IS, termasuk mereka yang menyokong kumpulan pengganas itu dari jauh.

“Kita lihat ada individu yang hanya memiliki beberapa buah buku berkaitan IS telah dihukum (didakwa) kerana disabitkan dengan keganasan.

“Bagaimana pula individu seperti Ramasamy yang sehingga hari ini belum diambil tindakan sedangkan pembabitannya (dengan LTTE) jauh lebih jelas jika dibandingkan orang yang memiliki buku (IS)?” soal Asri yang menafikan kritikannya terhadap Ramasamy ada kaitan dengan sokongan ke atas Zakir.