Pertikai mansuh Sosma: Hanipa ajak Zahid berdebat

Hanipa Maidin yakin RTM atau Astro Awani bersedia menyiarkan perdebatan ini secara langsung di televisyen jika Zahid Hamidi menyahut cabarannya. (Gambar Fali)

PETALING JAYA: Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mohamed Hanipa Maidin hari ini bersedia untuk berdebat dengan Ketua Pembangkang Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berhubung isu Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma).

Hanipa berkata, tujuan perdebatan itu adalah untuk mendidik masyarakat dan menghapuskan kekeliruan yang cuba ditonjolkan oleh Zahid berhubung pemansuhan Sosma.

“Saya yakin pihak media seperti RTM atau Astro Awani bersedia menyiarkan perdebatan ini secara langsung di televisyen jika ketua pembangkang bersedia menyahut cabaran saya ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Kelmarin, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan kerajaan akan memansuhkan Sosma, undang-undang kontroversi yang diluluskan pada 2012 dan dilihat sebagai pengganti kepada Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Zahid selepas itu mempersoalkan Dr Mahathir jika kerajaan Pakatan Harapan (PH) berhasrat menghidupkan semula ISA selepas memansuhkan Sosma yang disifatkannya “tidak cukup kuat”.

Presiden Umno itu bimbang pembatalan Sosma dan akta lain akan menyebabkan negara berdepan ancaman keselamatan kawalan jauh serta membuka lebih banyak ruang kepada pihak tertentu menggugat ketenteraman awam melalui provokasi kaum dan agama menerusi pelbagai saluran media sosial serta internet.

Pada 4 April lalu, Dewan Rakyat meluluskan ketetapan supaya Sosma dikuatkuasakan bagi menahan individu disyaki terbabit dalam aktiviti mengancam keselamatan negara selama 28 hari, tanpa dihadapkan ke mahkamah.

Usul itu diluluskan menerusi proses undi belah bahagi dan Speaker Dewan Rakyat ketika itu, Tan Sri Pandikar Amin Mulia ketika mengumumkan keputusan itu berkata, sebanyak 77 undi menentang dan seramai 93 ahli parlimen menyokong.

Adakah kerajaan akan hidupkan ISA selepas mansuh Sosma, soal Zahid