Adakah pemimpin Umno Tuhan boleh ramal kematian, soal Khairuddin

Khairuddin Abu Hassan berkata PRK tidak memberi sebarang perbezaan kepada Umno.

PETALING JAYA: Seorang penyokong kuat Tun Dr Mahathir Mohamad menyelar Tan Sri Annuar Musa berhubung kenyataannya yang membayangkan pilihan raya kecil (PRK) akan berlaku di Langkawi, di mana pemimpin berusia 93 tahun itu adalah ahli parlimennya.

“Adakah pemimpin Umno ini fikir mereka Tuhan, dan boleh meramal kematian orang lain? Mereka lupa Umno dan Barisan Nasional jatuh kerana mereka terlalu sombong,” kata Khairuddin Abu Hassan, bekas ketua bahagian Umno yang terkenal dengan peranannya dalam membangkitkan isu 1MDB dengan pihak berkuasa asing.

Semalam, Annuar berkata akan ada lebih banyak PRK untuk menguji sokongan terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH) selepas kematian 2 Adun mereka di Selangor.

PRK di DUN Sungai Kandis akan diadakan selepas kematian penyandangnya Mat Shuhaimi Shafiei. Sementara, Adun Balakong Eddie Ng dari DAP meninggal dunia dalam kemalangan Jumaat lalu.

Annuar meramalkan PRK Sungai Kandis dan Balakong bukan yang terakhir.

“PRK Sungai Kandis belum siap lagi hendak berkempen, sudah ada satu lagi di Balakong. Saya percaya selepas ini Tuhan akan tentukan banyak lagi pilihan raya kecil, tidak tahu di mana, Langkawi atau di mana.

Khairuddin berkata PRK tidak memberi sebarang perbezaan kepada Umno.

“Sekiranya terdapat lebih banyak pilihan raya, bolehkah Umno dan BN memenanginya? Mereka dikutuk oleh rakyat.”

Pemimpin PPBM termasuk Timbalan Presidennya Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Ahli Majlis Tertinggi Tariq Ismail dan Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu juga mengkritik Annuar.

 

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2018/07/24/umno-ramal-prk-sungai-kandis-balakong-bukan-yang-terakhir/