Ahli akademik, aktivis gesa kerajaan kaji semula had nikah bawah umur

Aktivis budaya dan masyarakat, Fazleena Hishamuddin berkata gadis yang berkahwin bawah umur lebih cenderung meninggalkan persekolahan dan kemungkinan besar dibelenggu kemiskinan seumur hidup. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Kerajaan dan pihak berwajib perlu meneliti semula had umur minimum perkahwinan bawah umur untuk diseragamkan dan dijadikan rujukan pengamal undang-undang dalam berdepan isu membabitkan perkahwinan kanak-kanak.

Felo Penyelidik Undang-undang dan Perlembagaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Muhammad Fathi Yusof, berkata panduan terperinci ini perlu dimasukkan dalam enakmen atau akta sedia ada berkaitan perkahwinan bawah umur.

“Ini penting sebagai panduan bagi semua termasuk masyarakat. Perincian lain adalah perlunya prosedur tambahan membabitkan kelayakan, status kewangan, penglibatan pihak kesihatan dan pakar kaunseling bagi mereka yang telah berkahwin pada usia muda, jika perlu.”

Beliau mengulas isu perkahwinan bawah umur yang menjadi buah mulut masyarakat ketika ini apabila seorang lelaki tempatan berumur 41 tahun berkahwin dengan seorang kanak-kanak 11 tahun di Narathiwat, Thailand.

Dilaporkan, Mahkamah Syariah Gua Musang mendenda lelaki itu RM1,800 selepas mengaku bersalah berkahwin dengan kanak-kanak tanpa kebenaran mahkamah dan berpoligami tanpa kebenaran dan izin isterinya.

Menurut Seksyen 8 Akta Undang-undang Keluarga Islam, umur minimum bagi sesebuah ikatan perkahwinan dan sekiranya lelaki berumur kurang 18 tahun atau perempuan kurang 16 tahun, mereka tidak dibenarkan berkahwin kecuali dengan kebenaran hakim syarie secara bertulis dengan pertimbangan hal tertentu.

Mengenai cadangan menjadikan perkahwinan bawah umur kesalahan jenayah, Fathi berkata, buat masa ini, undang-undang keluarga Islam dan perkahwinan di bawah kuasa negeri, manakala perkahwinan bukan Islam terletak di bawah bidang kuasa kerajaan persekutuan.

“Jadi, kerajaan persekutuan tidak ada bidang kuasa perundangan ke atas perkahwinan orang Islam. Cadangan itu hanya akan mengikat bukan Islam,” katanya sambil menambah perkahwinan bawah umur hanya boleh dibuat melalui perintah mahkamah sivil serta syariah, dan jika berkahwin tanpa kebenaran mahkamah, maka ia adalah satu kesalahan.

Sementara itu, bekas pensyarah Fakulti Undang-undang Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Habibah Kapawi, berkata undang-undang Islam berkaitan perkahwinan bawah umur perlu diselaraskan di semua negeri bagi menjadikan ia satu kesalahan.

Peguam, Fatien Eleena Jabridin berpendapat perkahwinan kanak-kanak menggagalkan pembangunan individu dan negara.

Tutor kanak-kanak, Puteri Farhana Datuk Megat Ahmad Shahrani, berkata perkahwinan kanak-kanak adalah tindakan menyokong perbuatan pedofilia, oleh itu ia harus dihentikan dan dijadikan satu kesalahan undang-undang.

“Semua perkahwinan bawah umur perlu dibatalkan segera. Ia bergantung kepada denda. Denda perlu lebih daripada sekadar wang. Kanak-kanak itu akan mengalami trauma mental ketika membesar. Ini tidak lagi mengambil kira penderaan fizikal yang mungkin dilakukan lelaki berusia ke atasnya.”

Beliau berkata, kempen kesedaran berterusan perlu dilipatgandakan supaya kerajaan, pihak berwajib, masyarakat dan sekolah memandang serius isu itu.

“Kesan dan viralkan. Ia membantu meningkatkan kesedaran terhadap masalah itu dan biar orang ramai tahu NGO berjuang serius isu ini. Bawa perdebatan ke peringkat seterusnya. Wujudkan kesedaran awam agar berjuang terhadap isu perkahwinan kanak-kanak,” kata exco Puteri Umno yang juga ketua Puteri Umno Kuala Kangsar itu.

Seorang pengamal undang-undang, Sharifah Salmah Syed Mahdzar, berkata kempen kesedaran lebih aktif juga perlu diadakan dalam kalangan wanita tentang kepentingan menjaga hak sebagai isteri dan menyedarkan masyarakat perkahwinan bawah umur hanya akan membawa lebih banyak mudarat.

Jelasnya, ini bagi melindungi wanita yang sudah berkahwin, terutamanya yang masih lemah dan belum matang, mahupun bawah umur agar mereka tidak diabaikan dan dipandang serong masyarakat kerana berkahwin pada usia muda.

Seorang aktivis budaya dan masyarakat, Fazleena Hishamuddin, berkata perkahwinan bawah umur akan memberi cabaran meliputi tekanan dari segi fizikal dan mental terhadap kanak-kanak.

Menurutnya, gadis yang berkahwin bawah umur lebih cenderung meninggalkan persekolahan dan kemungkinan besar dibelenggu kemiskinan seumur hidup.

“Sesudah menjadi isteri, risiko gadis ini menjadi mangsa penderaan rumah tangga lebih tinggi berbanding wanita yang berkahwin pada usia lebih lewat.”