Ku Li puji langkah kerajaan kaji semula DEB

Tengku Razaleigh Hamzah berkata, kajian semula dasar negara adalah perkara biasa yang perlu dilakukan mengikut peredaran masa.

KUALA LUMPUR: Veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah menyifatkan langkah kerajaan Pakatan Harapan (PH) meneliti semula Dasar Ekonomi Baru (DEB) sebagai idea baik.

Ahli Parlimen Gua Musang itu berkata, tiada dasar yang akan kekal selama-lamanya dan ia boleh dikemas kini mengikut keperluan semasa.

“Perkara itu biasa. Ini kena ikut peredaran masa.

“Ia bergantung kepada pendekatan yang direncanakan,” katanya di lobi Parlimen hari ini.

Semalam, Menteri Hal Ehwal Eknomi, Datuk Seri Azmin Ali berkata, kerajaan akan mengkaji semula DEB berdasarkan keperluan, bukannya bangsa bagi memastikan dasar kerajaan dibuat mengikut permintaan dan aspirasi rakyat.

Beliau berkata, kajian semula itu akan dilakukan Unit Perancang Ekonomi dan dijangka dibentangkan November ini.

Selain DEB, katanya, Model Ekonomi Baru juga akan diteliti semula sama ada ia masih relevan, sejajar aspirasi Malaysia Baru dalam memastikan pertumbuhan ekonomi negara mampan serta dapat menjamin pengagihan adil.

Bagaimanapun, bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak menyokong langkah itu.

Sementara itu, Tengku Razaleigh yang lebih dikenali sebagai Ku Li berkata, pertemuannya dengan Zahid semalam berjalan dengan baik dan mereka membincangkan banyak perkara.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut mengenai pertemuan itu.

Katanya, beliau belum boleh menilai prestasi Zahid sebagai ketua pembangkang kerana ia masih baru.

“Setakat hari ini, kita tidak dapat nak kata dengan jelas apakah kebaikan dan harapan oleh pemimpin dan ahli.”