Menteri: Terlalu awal cadang usul potong elaun ahli Parlimen

Liew Vui Keong menyangkal dakwaan pembangkang persidangan Dewan Rakyat semalam diteruskan tanpa korum mencukupi.

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong berkata, terlalu awal untuk kerajaan mencadangkan usul potongan elaun bulanan ahli Parlimen yang gagal menghadiri persidangan Dewan Rakyat.

Beliau yang bertanggungjawab ke atas hal ehwal Parlimen berkata, ada ramai ahli Parlimen baru yang tidak tahu kepentingan loceng kali ke-2 di Dewan Rakyat.

“Kita akan berbincang di mesyuarat Kabinet sebelah petang nanti dan saya akan dapat arahan seterusnya daripada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad,” katanya di lobi Parlimen, hari ini.

Semalam, bekas menteri, Tan Sri Rais Yatim mencadangkan potongan elaun bulanan ahli Parlimen mengikut kadar arahan Jawatankuasa Pemilih Dewan untuk mengelakkan penangguhan persidangan Dewan Rakyat akibat tidak cukup korum.

Beliau turut menyarankan nama ahli Parlimen yang disifatkannya “malas” didedahkan dalam akhbar dan media sosial.

Semalam, sidang Dewan Rakyat sebelah petang tertangguh 6 minit kerana tidak cukup korum.

Liew menyangkal dakwaan pembangkang persidangan Dewan Rakyat diteruskan tanpa korum mencukupi.

Katanya, kiraan semula mendapati 35 ahli Parlimen berada dalam Dewan Rakyat, tetapi mereka terlewat 6 minit daripada waktu bersidang.

“Sidang Dewan Rakyat semalam bersambung semula jam 2.32 petang.

“Kiraan ada 15 orang dan speaker Dewan Rakyat arah loceng dibunyikan 2 minit sebanyak 2 kali.

“Tamat loceng, kiraan semula pada jam 2.36 petang sudah cukup korum, iaitu sebanyak 35 ahli Parlimen ada dalam Dewan Rakyat,” katanya sambil menambah Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat 13(1) menyatakan perlu ada 26 ahli Parlimen, tidak termasuk speaker untuk menyambung persidangan.

Beliau berkata, tidak timbul isu persidangan Dewan Rakyat terhenti, sebaliknya ia hanya tertangguh 6 minit.