Tak boleh tarik balik tuduhan rasuah Guan Eng, kata SPRM

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan laporan ia akan menarik balik pertuduhan rasuah terhadap Menteri Kewangan Lim Guan Eng apabila perbicaraannya akan bersambung minggu depan.

“SPRM tidak mempunyai kuasa untuk melaksanakan perkara seumpama itu bagi mana-mana kes pendakwaan sebaliknya ia tertakluk kepada kuasa Pejabat Peguam Negara,” katanya dalam kenyataan ringkas.

(Nota editor: Laporan awal FMT memetik China Press secara salah menyatakan SPRM akan menarik balik pertuduhan. Laporan asal menyatakan Jabatan Peguam Negara akan menarik balik pertuduhan. FMT menyesali kesilapan itu dan laporan sudah dibetulkan.)

Lim adalah ketua menteri Pulau Pinang apabila dia didakwa kerana menggunakan kedudukannya untuk meluluskan permohonan perlingkungan semula zon tanah pertanian kepada zon perumahan awam oleh sebuah syarikat.

Beliau juga dituduh mendapatkan untuk dirinya sebuah rumah banglo dari seorang ahli perniagaan, Phang Li Koon, dengan harga RM2.8 juta, lebih rendah daripada harga pasaran RM4.27 juta. Phang dituduh bersubahat.

Perbicaraan Lim ditangguhkan pada 21 Mei, sementara menunggu tuduhan dikaji semula.

Peguamnya, Ramkarpal Singh memberitahu Mahkamah Tinggi Pulau Pinang bahawa pihak pembelaan akan memfailkan representasi baharu kepada peguam negara untuk menarik balik tuduhan.

AG to withdraw graft charges against Guan Eng?

Ramkarpal: Representasi kepada peguam negara tiada kaitan politik