‘This is Malay land’, Tajuddin beritahu wakil rakyat DAP

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat gamat apabila Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) meminta Datuk Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) belajar sejarah sebelum bercakap mengenai konsep Malaysian Malaysia.

“Sejarah? Ini tanah Melayu tahu. Kamu cakap soal sejarah, ‘this is Malay land’,” katanya ketika membahaskan titah Agong hari ini.

Terdahulu, Tajuddin dalam ucapannya menyeru semua wakil rakyat menghormati institusi raja-raja dan hak orang Melayu, namun RSN Rayer (PH-Jelutong) tidak berpuas hati kerana merasakan ia ditujukan kepada Pakatan Harapan.

Tajuddin berkata gesaannya untuk semua pihak. “Kita mesti tunjukkan kesetiaan kepada raja-raja Melayu. Raja penting kepada kita, sebagai ketua agama Islam. Kalau kamu hina raja, kamu hina orang Melayu.”

Beliau menjelaskan gesaannya mahu mempertahankan institusi raja-raja, yang bertanggungjawab menjaga hak dan keistimewaan Bumiputera dan Islam.

“Tapi ada orang mewujudkan persepsi perkauman. Kalau kita orang Melayu-Islam pertahan hak kita bukan bermakna kita rasis,” katanya.

Tajuddin sempat membidas idea kesamarataan dalam konsep Malaysian Malaysia yang dikaitkan dengan DAP.

“Itu bukan keadilan. Kita beri pertolongan kepada yang memerlukan. Kita beri pada Orang India, Melayu, Cina dan lain-lain yang perlukan pertolongan. Tidak ada perkauman,” katanya.

Kata-kata Tajuddin itu mengundang reaksi Khoo, yang bangun mencelah dan berkata Malaysian Malaysia yang dilaungkan DAP itu untuk menjaga hak semua kaum.

Tajuddin bagaimanapun mempertikaikan jawapan Khoo. “Jangan cakap sahaja. Di mulut lain, di hati lain. Kita tahu agenda kamu.”

Khoo membalas dakwaan itu dengan meminta Tajuddin mempelajari sejarah, di mana ia dijawab dengan berkata “this is Malay land”.

Keadaan semakin tegang apabila Willie Mongin (PH-Puncak Borneo) bangun dan mencelah. “Ini tanah Malaysia, bukan tanah Melayu”.

“Kalau awak nak berdebat dengan saya kita boleh berdebat di luar,” kata Tajuddin pula.

Keadaan kembali tenang apabila Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon meminta Khoo dan Willie berhenti mengganggu Tajuddin.

Tanah Melayu atau nama Inggerisnya, Malaya, adalah kumpulan negeri-negeri di Malaysia Barat, dan dirujuk seperti itu dalam dokumen rasmi kerajaan seperti Perintah Perlembagaan Persekutuan dan jawatan seperti Hakim Besar Malaya.

Tanah Melayu bergabung dengan Sarawak, Borneo Utara (sekarang Sabah) dan Singapura untuk membentuk Malaysia pada 1963.