Umno dan PAS perlu lupa sengketa lama, kata Najib

Najib Razak ditemani calon BN, Lokman Noor Adam (kiri, depan) mengadakan lawatan di sekitar DUN Sungai Kandis, hari ini.

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata, PAS dan Umno perlu melupakan persengketaan silam dan berpandangan lebih jauh.

Bekas perdana menteri itu berkata, kedua-dua parti itu perlu melihat semula matlamat dan tujuannya, iaitu mengangkat martabat serta kepentingan Islam tanpa melupakan komuniti lain.

“Ia adalah fakta jelas dalam kalangan penyokong PAS, mereka melihat komitmen Umno terhadap Islam lebih besar berbanding Pakatan Harapan (PH), saya rasa itu adalah fakta.

“Kita harus bersifat realistik kerana sudah berdekad timbulnya permusuhan di antara PAS dan Umno, tetapi mungkin masih ada perasaan yang kita tidak boleh abaikan.

“Harap rakyat sedar apa yang penting bukanlah apa yang berlaku di masa silam, tetapi di masa hadapan,” katanya selepas mengadakan lawatan sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) di Sungai Kandis, hari ini.

PRK Sungai Kandis menyaksikan pertandingan 3 penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Datuk Lokman Noor Adam dengan calon PH, Zawawi Ahmad Mughni serta calon bebas, K Murthy, selepas PAS tidak menurunkan calon atas prinsip satu lawan satu untuk memberi peluang terbaik kepada pembangkang.

Najib Razak mengakui BN memberi lebih banyak bantuan kepada orang Melayu kerana kaum itu masih ketinggalan.

Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan Umno dan PAS ialah adik-beradik kerana keputusan parti Islam itu memberi laluan kepada Umno bertanding menentang PH di Sungai Kandis, tetapi ia dinafikan pemimpin 2 parti pembangkang itu.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata, walaupun tidak menurunkan calon dan jentera, ahli PAS perlu melakukan pertimbangan wajar demi kepentingan Islam-Melayu serta masa depan negara.

Semalam, Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, parti Islam itu menolak sebarang kerjasama, termasuk duduk sepentas berceramah ataupun berkempen dengan BN di Sungai Kandis.

Calon BN, Lokman bagaimanapun berkata, BN tidak mampu menewaskan PH di Sungai Kandis tanpa sokongan dan bantuan PAS.

Najib berkata, terpulang kepada Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk memujuk pimpinan PAS menyokong calon BN di Sungai Kandis.

“Itu saya serahkan kepada Zahid, dia adalah presiden parti, jadi dia berhak lakukan apa sahaja yang diperlukan. Saya di sini hanya membantu apa yang termampu bagi memastikan calon kita menang pilihan raya kecil.”

Sementara itu, Najib menafikan dakwaan Umno kini hanya memperjuangkan nasib bangsa Melayu sehingga mengabaikan bangsa lain.

“Itu saya nafikan sebab kalau lihat sejarah Malaysia, kita merdeka hingga bentuk Perlembagaan dan dasar atas satu konsep, iaitu demi kepentingan semua kaum.

“Kita beri bantuan lebih kepada orang Melayu sebab majoriti orang Melayu ketinggalan, hasil atau kesan daripada legasi peninggalan penjajah, kita balik semula pada semangat dan prinsip dasar ekonomi baru.”

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, pengundi di Sungai Kandis masih menerimanya walaupun berdepan dakwaan salah laku dikaitkan dengan 1MDB.

“Apa yang saya lihat, ia suatu penerimaan yang baik, tetapi kawasan ini sangat luas dan terdapat pelbagai jenis orang yang terdiri daripada pelbagai latar belakang. Ini hanyalah lawatan pertama dan kita lihat bagaimana seterusnya.”

PRK Sungai Kandis akan diadakan 4 Ogos ini susulan kematian penyandangnya, Mat Shuhaimi Shafiei akibat kanser limfoma, pada 2 Julai lalu.

Pada pilihan raya umum 9 Mei lalu, Shuhaimi memenangi kerusi itu (dahulu Sri Muda) untuk penggal ke-3 berturut-turut dengan 23,998 undi, mengalahkan calon BN, Datuk Kamaruzzaman Johari (11,518 undi), calon PAS, Mohd Yusof Abdullah (7,573 undi) dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hanafiah Husin (76 undi).

Statistik pilihan raya umum ke-14 menunjukkan 72% daripada 50,800 pengundi terdiri daripada orang Melayu, Cina (12%) dan India (16%).