Dr M bukan lagi ultra Melayu, tetapi ultra DAP, kata Lokman Adam

Lokman berkata, sejak 70 hari mentadbir Putrajaya, kerajaan Pakatan Harapan (PH) sudah mengabaikan beberapa prinsip dalam Perlembagaan Persekutuan.

SHAH ALAM: Tun Dr Mahathir Mohamad yang dahulunya terkenal dengan jolokan sebagai pembela kepentingan bangsa Melayu kini sudah beralih arah, iaitu menjadi membela parti DAP, kata Datuk Lokman Noor Adam.

Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis dalam pilihan raya kecil dijadualkan 4 Ogos depan berkata, sejak 70 hari mentadbir Putrajaya, kerajaan Pakatan Harapan (PH) sudah mengabaikan beberapa prinsip dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Apa yang saya nampak, dia (Dr Mahathir) bukan lagi ultra Melayu, tetapi hari ini sudah menjadi ultra DAP, sebabnya semua hak istimewa orang Melayu sudah terhakis dan digantikan dengan hak istimewa orang DAP,” katanya dalam wawancara bersama FMT.

Menjelaskan dakwaannya, Lokman berkata ini dapat dilihat melalui sikap berdiam diri Dr Mahathir apabila bekas orang kanannya Datuk A Kadir Jasin mempersoalkan hak istimewa Agong.

“Selama 61 tahun, pernah ke di Malaysia orang seperti Kadir Jasin, yang faham mengenai bangsa Melayu, Islam, Melayu dan kedudukan Raja-raja Melayu berani melakukan fitnah terhadap Yang Dipertuan Agong.

“Kalau dahulu orang yang menghina Raja-raja Melayu, orang tidak tunggu polis, tindakan telah diambil, tetapi dalam keadaan hari ini walaupun sudah buat laporan polis, masih tiada tindakan diambil,” katanya.

Sebaliknya, kata beliau, Dr Mahathir melalui pemilihan menteri kabinet melantik dan menempatkan beberapa pemimpin DAP bagi memegang jawatan terpenting dalam pentadbiran negara.

“Dia (Dr Mahathir) lantik Lim Guan Eng sebagai menteri kewangan dan pernah ke dalam sejarah kita berikan jawatan menteri komunikasi, iaitu jawatan yang mewakili lidah rasmi kepada kerajaan kepada pemimpin DAP.

“Kalau musuh serang negara, tempat pertama yang akan diserang adalah melalui stesen televisyen, sekarang ini stesen televisyen sudah ditawan DAP,” katanya.

“Begitu juga dengan jawatan timbalan menteri pertahanan, yang diberikan kepada pemimpin DAP. Hari ini jika timbalan menteri dari DAP ini buka ‘server’ dan hantar mesej kepada Singapura, negara itu akan tahu keseluruhan hal ehwal pertahanan negara,” kata beliau lagi.

Dr Mahathir sebelum ini melantik Gobind Singh Deo bagi mengetuai Kementerian Komunikasi dan Multimedia dan melantik pakar strategi DAP, Liew Chin Tong sebagai timbalan menteri pertahanan.

Bagaimanapun, Lokman menyindir keputusan Dr Mahathir yang disifatkannya berjaya mentadbir negara untuk kali kedua walaupun parti beliau, PPBM, mempunyai bilangan kerusi sedikit di Parlimen.

“Ini kejayaan Dr Mahathir untuk pujuk DAP supaya tidak ambil banyak kedudukan dalam kabinet, tetapi meletakkan mereka di posisi penting. Dia berjaya pujuk DAP jangan ambil banyak sangat jawatan dalam Kabinet, nanti orang Melayu akan marah,” katanya.

Lokman juga berkata, berikutan perkembangan itu pengundi di DUN Sungai Kandis perlu memilih beliau bagi mewakili suara di kawasan berkenaan dan secara amnya mewakili suara rakyat Malaysia.

Baginya, adalah sukar untuk calon dari Pakatan Harapan (PH), Mohd Zawawi Ahmad Mughni mempertahankan kedudukan Melayu, Islam dan kedudukan Raja-raja Melayu walaupun mempunyai latar belakang pendidikan agama.

“Zawawi berada di dalam sistem pentadbiran, bila dia berada dalam sistem sukar memperbetulkan sistem itu. Tetapi saya ini berada di luar sistem, maknanya kalau kerajaan tidak betul, saya akan beri teguran.

Kerusi DUN Sungai Kandis kosong susulan penyandang kerusi berkenaan Mat Shuhaimi Shafiei daripada PKR meninggal dunia akibat kanser limfoma pada 2 Julai lepas.

Berdasarkan statistik pilihan raya lepas, daripada 50,800 pengundi secara keseluruhan, 72% daripadanya adalah pengundi Melayu, Cina (12%), India (16%).

DUN Sungai Kandis dahulunya dikenali sebagai DUN Seri Andalas dan berada dalam kawasan Parlimen Kota Raja yang dimenangi Presiden Amanah Mohamad Sabu dengan majoriti besar sebanyak 71,142 undi.

Pada pilihan raya 9 Mei lepas, Mat Shuhaimi Shafiei menang dalam pertandingan 4 penjuru dengan majoriti 12,480 undi.

Mat Shuhaimi memperolehi sebanyak 23,998 undi, manakala calon BN, Kamaruzzaman Johari (11,518), calon PAS Mohd Yusof Abdullah (7,573) dan Hanafiah Husin (76).

Kerusi DUN berkenaan dimenangi PKR 3 penggal berturut-turut sejak pilihan raya Uumum ke-12 pada 2008. Sejak 2 penggal lalu, kerusi berkenaan dimenangi Xavier Jeyakumar.