HFMD: Sebuah kelas diarah tutup, 36 murid bercuti di Taman Tun

Notis penutupan dibuat bagi membolehkan kerja pembersihan dan pembasmian kuman dijalankan, selain memastikan pelajar lain tidak dijangkiti wabak sama. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Sebuah kelas di Sekolah Rendah Taman Tun Dr Ismail 2 di sini diarahkan tutup dan kesemua 36 murid bercuti 10 hari selepas 4 daripada mereka dijangkiti penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD).

Pegawai Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang dihubungi semalam mengesahkan terdapat 4 kes HFMD dilaporkan membabitkan murid lelaki tahun 3 sekolah itu.

“Menurut notis dikeluarkan Jabatan Kesihatan Daerah Kepong, hanya bilik darjah terbabit diarah tutup mulai Selasa. Notis penutupan itu dibuat bagi membolehkan kerja pembersihan dan pembasmian kuman dijalankan selain memastikan pelajar lain tidak dijangkiti wabak sama,” katanya.

Tinjauan di sekolah terbabit mendapati aktiviti persekolahan berlangsung seperti biasa dengan pengurusan sekolah juga mengesahkan kesemua murid daripada bilik darjah terbabit sudah bercuti, mulai semalam.

Terdahulu, sebuah akhbar tempatan melaporkan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata terdapat peningkatan kes HFMD apabila 35,886 kes kumulatif wabak itu direkodkan di seluruh negara dari 1 Jan hingga 23 Julai tahun ini.

Pada minggu ke-29 iaitu 15 hingga 21 Julai lepas, sebanyak 3,852 kes HFMD dilaporkan berbanding 2,346 pada minggu ke-28 iaitu 8 hingga 14 Julai, menunjukkan peningkatan sebanyak 1,506 kes atau bersamaan 64.2%.

Katanya pada 23 Julai iaitu hari kedua minggu ke-30, sebanyak 564 kes HFMD dilaporkan di seluruh negara.

HFMD: Kementerian sahkan tiada sekolah ditutup di Selangor

3 sekolah di P Pinang ditutup akibat HFMD