Perjanjian ‘berat sebelah’ bukan salah China, kata Saifuddin

Saifuddin berkata, hubungan Malaysia-China telah berlangsung selama ratusan, kalau pun tidak ribuan tahun, dan adalah penting untuk kedua-dua negara membaiki terma hubungan dua halanya.

KUALA LUMPUR: Malaysia tidak menyalahkan kerajaan China atas perjanjian yang ditandatangani kerajaan pimpinan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dengan syarikat negara itu, yang kini dikritik oelh Pakatan Harapan, kata Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah.

Bercakap kepada Straits Times Singapura (ST) Saifuddin berkata, “naratif kempen masih relevan dalam konteks projek terbabit” dan Putrajaya mahu merundingkan semula termanya, merujuk kepada kritikan PH terhadap projek berkaitan semasa kempen pilihan raya umum 9 Mei lepas.

“Tetapi pendirian kita jelas. Kita tidak menyalahkan kerajaan China kerana syarikat negara itu menandatangani satu atau beberapa perjanjian dengan syarikat Malaysia di bawah naungan kerajaan ketika itu. Jadi anda tidak boleh menyalahkan kerajaan China kerana itu,” katanya menurut ST.

Malaysia baru-baru ini menghentikan perbelanjaan infrastruktur bernilai hampir RM100 bilion yang diberikan kepada syarikat milik kerajaan China, dan berkata ia perlu mengkaji semula projek mega tersebut kerana hutang negara kini mencecah angka RM1 trilion.

Kerajaan PH juga mempersoalkan terma perjanjian tersebut yang diberikan tanpa tender terbuka dan pembayaran dibuat berdasarkan tempoh masa, bukannya kemajuan pembinaan.

Antara projek terlibat ialah Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang menghubungkan pelabuhan di Kelang di barat dengan Kuantan di timur sebelum bergerak ke utara hingga ke sempadan negara Thai. Kerajaan baru PH mendedahkan kos projek itu akan mencecah RM81 bilion, jauh mengatasi angka RM55 bilion yang diberitahu pemimpin kerajaan lepas.

Projek lain ialah pembinaan saluran paip gas bernilai lebih RM10 bilion. Dilaporkan kontraktor projek telah dibayar sebanyak 88% fi projek, sedangkan kerja pembinaan hanya siap sebanyak 13%.

Saifuddin memberitahu ST, Malaysia perlu berunding semula dengan China. “Jika tidak semua, kebanyakan perjanjian yang ditandatangani”. Katanya, walaupun Malaysia mengalu-alukan pelaburan asing langsung, ia tidak mahukan perjanjian berat sebelah.

“Hubungan Malaysia-China telah berlangsung selama ratusan, kalau pun tidak ribuan tahun. Penting untuk kedua-dua negara sekiranya kami dapat membaiki terma hubungan dua hala,” katanya.

ST melaporkan, Beijing menyatakan kesediaannya untuk berbincang dengan pentadbiran Dr Mahathir.

Ia memetik seorang “pembantu” Dr Mahathir yang berkata, perdana menteri akan melawat China pada 17 Ogos depan dan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, juga akan melawat negara itu dalam masa terdekat.