RUU355: Terserah kepada speaker Parlimen, kata Fuziah

Fuziah berkata, RUU355 sudah pasti tidak dapat dibahaskan pada sesi Parlimen yang akan berakhir pada 16 Ogos depan. (Gambar Bernama)

PUTRAJAYA: Kerajaan tidak akan campur tangan dalam menentukan sama ada Rang Undang-undang Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU355 kembali dibahaskan di Parlimen kerana berpegang kepada prinsip pengasingan kuasa, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh.

Beliau berkata prinsip tersebut menjelaskan badan eksekutif tidak boleh mencampuri aturan perjalanan Parlimen, termasuk dalam hal berkenaan pembentangan sebarang usul oleh anggota badan itu.

Mengulas harapan pembangkang agar RUU355 dibenar dibahaskan, Fuziah berkata prosedur Parlimen memberi kuasa kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat bagi menentukan usul yang perlu diberi keutamaan untuk dibentang dan dibahaskan.

“Peraturan juga menyebut sebarang usul yang hendak dibawa perlu diberi notis 14 hari sebelum tarikh Parlimen bersidang.

“Jika usul itu telah dibawa tentu ia disenaraikan di dalam kertas aturan mesyuarat yang mana setakat ini perkara itu tidak kelihatan,” katanya, sambil menambah RUU355 sudah pasti tidak dapat dibahaskan pada sesi Parlimen yang akan berakhir pada 16 Ogos depan.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Simposium Motivator dan Trainer Muslim Malaysia semalam, Fuziah yang turut ditanya kesediaan kerajaan untuk berbahas usul itu sekiranya ia di bawa ke Parlimen, berkata mereka sedia mengambil bahagian dalam perbahasan.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Kelantan Datuk Mohd Nasuruddin Daud dilaporkan berkata kerajaan negeri itu akan mengadakan rundingan dengan kerajaan Persekutuan berhubung perkara tersebut walaupun terdapat desas-desus yang mendakwa RUU355 tidak akan dibahaskan di Parlimen pada sesi kali ini.

Dalam perkembangan lain, Fuziah berkata pihaknya sedia membantu kakitangan Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM) yang tidak menerima gaji penuh sejak Jun lepas berikutan kekurangan dana selepas pembiayaannya oleh satu daripada agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) dihentikan.

“Petugas IKSIM yang tidak mendapat gaji boleh datang terus kepada kami, Insya-Allah agensi di bawah kami boleh membuat pembayaran wang secara terus kepada mereka,” katanya.

Mengenai sekatan pemberian dana, Fuziah berkata sebagai pihak yang bertanggungjawab ke atas agensi di bawah JPM yang menyediakan dana kepada IKSIM, pihaknya bertindak selepas mendapati wujud perkara meragukan dalam hal berkaitan prosedur kewangan, pengeluaran wang dan pembelian aset.

“IKSIM ialah syarikat jaminan terhad melalui jaminan RM1 juta oleh satu daripada agensi di bawah JPM. Kami tidak ada kuasa ke atas IKSIM tapi dana yang dikeluarkan oleh agensi tersebut adalah di bawah tanggungjawab kami.

“Pemberian dana bukan disekat begitu sahaja tetapi ia melibatkan aspek undang-undang serta amalan penggunaan kewangan yang didapati wujud perkara yang boleh dipersoalkan,” katanya dan menambah sebanyak RM34.6 juta telah diperuntukkan kepada IKSIM sejak 2014.

Fuziah berharap Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dapat membantu meningkatkan keupayaan Pertubuhan Perunding Latihan Motivasi Muslim Malaysia (TAMRIM) dengan mendapatkan metodologi atau kaedah terkini pengendalian kursus daripada beberapa negara yang terkedepan dalam hal tersebut seperti Jerman.

Beliau berkata pelatih motivasi perlu berganjak daripada kaedah lama yang tertumpu kepada sesi ceramah, diskusi kumpulan dan pembentangan semasa mengadakan kursus kepada metadologi terkini yang lebih interaktif termasuk tidak perlu bergantung kepada paparan LCD.