Upko: Putrajaya tidak berhak tentukan kadar royalti

Tangau yang merupakan pemangku presiden Upko dan timbalan ketua menteri Sabah berkata, syarat persetujuan bersama disebut secara jelas dalam Perkara 4, Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Pemimpin Upko, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau menuduh Putrajaya berlunjur sebelum duduk dengan mengumumkan kadar royalti 20% berdasarkan keuntungan kepada negeri pengeluar minyak, dan mengingatkan kerajaan persekutuan bahawa mekanisme pembayaran hendaklah dipersetujui bersama dengan kerajaan negeri terbabit.

Tangau yang merupakan pemangku presiden Upko dan timbalan ketua menteri Sabah berkata, syarat persetujuan bersama disebut secara jelas dalam Perkara 4, Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974.

Beliau berkata tidak ada keperluan untuk meminda mekanisme pembayaran yang tercatat dalam PDA seperti dicadangkan Menteri Hal-ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali semalam. PDA sedia menetapkan kadar royalti 5%, yang kini dibayar kepada negeri pengeluar minyak berdasarkan pendapatan kasar.

Bagaimanapun katanya, semakan semula PDA hendaklah bersifat komprehensif dan perlu menangani bukan sahaja isu mekanisme pembayaran, tetapi juga peruntukan yang menghendaki Petronas melapor kepada Parlimen. “Ini berkaitkan isu ketelusan dividen Petronas. Upko akan terus mendesak hal ini,” katanya.

Di Dewan Rakyat semalam, Azmin, ketika menjawab pertanyaan Tangau berkata, Putrajaya akan hanya melaksanakan janjinya membayar royalti 20% selepas PDA dipinda.

Tangau berkata, semakan itu perlu meliputi peranan kerajaan negeri, berikutan percubaan Petronas menuntut hak pemilikan ke atas semua sumber minyak di Malaysia, langkah yang disifatkannya sebagai silap. Undang-undang negeri jelas menyebut bahawa Petronas hendaklah meminta kebenaran kerajaan negeri bagi mengeluarkan sumbernya.

Katanya, kerajaan negeri Sabah mahu perbincangan mengenai isu berkaitan minyak dan gas didasarkan kepada prinsip Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Harapan agar Sabah mendapat lebih banyak pendapatan minyak adalah tinggi kerana kami menyumbang sebanyak 40% daripada pengeluaran minyak negara, tetapi pada saat ini, negeri Sabah mempunyai jumlah rakyat miskin paling ramai,” katanya.

“Royalti minyak tidak boleh dilihat secara terpencil, tetapi mestilah merupakan sebahagian daripada MA63 dan ini disebut dalam perjanjian itu dengan jelas,” katanya.

Beliau menambah, isu itu perlu diselesaikan dalam tempoh 5 tahun ini kerana ia memberi kesan langsung ke atas pendapatan negeri. Kami tidak boleh tunggu,” katanya.