Naib presiden PKR tepis dakwaan nepotisme, kronisme dalam parti

PETALING JAYA: Naib Presiden PKR, Dr Xavier Jayakumar menepis dakwaan adanya “nepotisme dan kronisme” dalam parti itu di Selangor, seperti yang didakwa oleh seorang pemimpin Pemuda yang meletak jawatan hari ini.

“Dia yang membuat keputusan untuk melepaskan jawatan yang diamanahkan kepadanya. Parti akan tentukan apakah ada berlaku nepotisme atau perkara lain.

“Kita berada di mana kita berada hari ini kerana rakyat menyokong kita dan mereka mahu perubahan. Perkara paling penting ialah menunaikan janji pilihan raya,” katanya pada sidang media di Putrajaya.

Syed Badli Shah Syed Osman meletakkan jawatan setiausaha Pemuda PKR Selangor.

Beliau mendakwa demokrasi “mati” dalam parti itu dan pemimpin menggunakan pelantikan politik sebagai habuan untuk mengekalkan pengaruh dan kuasa mereka.

Xavier berkata dakwaan seperti itu boleh dijangkakan daripada kumpulan-kumpulan yang bersaing semasa pemilihan parti, tetapi rakyat lebih memikirkan tentang keberkesanan kerajaan Pakatan Harapan.

“Perkara paling penting ialah memenuhi janji PRU14 dan bawa perubahan.

“Saya rasa rakyat tak terlalu memikirkan bagaimana ia dilakukan. Rakyat mahu ia berlaku,” katanya.

Beliau menambah sebagai pemimpin mereka mesti memanfaatkan keadaan sebaik mungkin untuk melaksanakan janji manifesto.