Setiausaha AMK PKR Selangor letak jawatan, dakwa kronisme, nepotisme

Beliau mendakwa segelintir pemimpin PKR negeri menyebarkan budaya kronisme dan nepotisme dengan menggunakan pelantikan politik sebagai habuan untuk mengekalkan pengaruh dan kuasa. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Setiausaha Angkatan Muda PKR Selangor Syed Badli Shah Syed Osman meletakkan jawatan beliau dan mendakwa demokrasi telah “mati” dalam PKR negeri itu.

Dalam satu kenyataan, Syed Badli Shah menggesa kepimpinan pusat PKR campur tangan dalam isu pelantikan politik yang berat sebelah di Selangor.

Beliau mendakwa segelintir pemimpin PKR negeri menyebarkan budaya kronisme dan nepotisme dengan menggunakan pelantikan politik sebagai habuan untuk mengekalkan pengaruh dan kuasa mereka.

“Jelas bahawa pelantikan politik hanya diberikan kepada mereka yang menunjukkan kesetiaan kepada kabilah tertentu, bukan berdasarkan merit.

“Dalam pelantikan ahli majlis misalnya, kelayakan, kebolehan, pengalaman dan sumbangan kepada perjuangan sepatutnya menjadi kriteria penting.”

Tetapi kata Syed Badli Shah, ia tidak berlaku dan hirarki parti tidak dihormati apabila mereka yang tidak selalu bersetuju dengan kepimpinan diketepikan, walaupun telah terlibat dalam perjuangan PKR sejak sekian lama dan dicadangkan secara rasmi ke jawatan di peringkat cabang parti.

“Budaya mengutamakan kroni menjadi bertambah buruk apabila mereka yang mendapat sokongan kabilah tertentu diberikan habuan melalui pelantikan politik.

Beliau berkata sesetengah pemimpin jelas tidak mengendahkan prinsip parti dan semangat Reformasi serta perbezaan pendapat tidak diterima oleh pemimpin negeri yang angkuh.

“Pemimpin ini lebih menggemari ahli parti yang tunduk tanpa mengeluarkan pendapat yang bercanggah dengan mereka.”