3 PATI lemas, 16 hilang di perairan Kota Tinggi

Hasil siasatan mendapati seramai 24 orang pendatang asing terjun dari bot yang dipercayai membawa masuk mereka ke negara ini bagi menyelamatkan diri daripada karam berikutan ombak kuat. (Gambar Bernama)

JOHOR BAHRU: Tiga pendatang asing tanpa izin (PATI) lemas, 5 yang lain selamat manakala 16 lagi masih hilang apabila kesemua rakyat Indonesia itu dipercayai terjun daripada bot dinaiki di perairan Tanjung Penyusup dekat Kota Tinggi, hari ini.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Johor, Kapten Maritim Sanifah Yusof berkata pihaknya mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada 7.15 pagi tadi, sejurus menerima laporan orang awam pada 7.03 pagi yang menemui 5 mangsa terselamat di Pantai Tanjung Penyusup.

“Sebuah bot peronda Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) ditugaskan ke kawasan berkenaan bagi membantu menyelamatkan mangsa.

Hasil siasatan dimaklumkan, seramai 24 orang pendatang asing lelaki dan wanita telah terjun dari bot yang dipercayai membawa masuk mereka ke negara ini bagi menyelamatkan diri dari karam berikutan ombak kuat.

Seramai 8 mangsa ditemui termasuk 3 mangsa meninggal dunia,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Sanifah berkata 3 yang meninggal dunia merupakan 2 lelaki dan seorang wanita yang masing-masing ditemukan pada 11.20 pagi, 11.50 pagi dan 12.05 tengah hari tadi terdampar di pantai Teluk Ramunia, Kota Tinggi sementara kesemua 5 yang dijumpai selamat pula adalah 3 lelaki dan 2 wanita..

Beliau berkata kesemua mangsa yang selamat dan meninggal dunia berumur antara 35 hingga 45 tahun.

“Operasi SAR hari ini melibatkan APMM, polis, bomba dan tentera darat dengan kekuatan 36 pegawai dan anggota,” katanya.

Sanifah berkata sektor pencarian berkeluasan kira-kira 11 batu nautika persegi di sepanjang perairan Tanjung Penyusup.