Menteri tolak laporan, kebajikan warga emas tetap dibela bila SST diperkenal

Dzulkefly berkata, perbelanjaan dan peruntukan sektor kesihatan akan terus dikekalkan seperti tahun-tahun sebelum ini, bahkan berjanji kesihatan warga emas tidak akan diabaikan.

KUALA SELANGOR: Kebimbangan disuarakan pusat kajian polisi kesihatan bahawa perlaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) akan menjejaskan warga emas adalah tidak wajar, kata Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad.

Dzulkefly berkata, perbelanjaan dan peruntukan sektor kesihatan akan terus dikekalkan seperti tahun-tahun sebelumnya, bahkan berjanji kesihatan warga emas tidak akan diabaikan.

“Kajian atau pandangan itu pada saya belum punyai bukti yang jelas. Ia hanyalah satu telahan, bukannya berpaksi kepada informasi tepat andainya SST dilaksanakan maka kesejahteraan warga tua akan terkesan.

“Perbelanjaan bajet atas sektor kesihatan akan kekal, ia tidak akan berkurangan. Ia akan kekal kerana penekanan dan keutamaan diberikan di situ,” katanya dalam sidang media sempena satu program gotong royong, di Puncak Alam, hari ini.

Terdahulu, Pusat Kesihatan dan Dasar Sosial Galen berkata, pengenalan cukai baru bagi menggantikan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang dilaksanakan sebelum ini akan menjejaskan warga emas.

Ketua eksekutifnya, Azrul Mohd Khalib berkata, kebimbangan itu dilahirkan setelah mendapati hasil kutipan cukai SST akan berkurangan hampir separuh berbanding kutipan cukai GST.

Kata beliau, menurut kajian pusat itu, pada tahun 2030, dianggarkan 15% daripada penduduk Malaysia akan dikelaskan sebagai warga emas yang berusia lebih daripada 60 tahun.

Ahli Parlimen Kuala Selangor itu berkata, perbelanjaan dan peruntukan daripada bajet tahunan bukan sahaja akan memberi manfaat kepada warga emas, tetapi golongan berpendapatan rendah lain.

“Apabila kita berbelanja secara berhemah, berkesan dan elakkan ketirisan, maka rakyat akan rasa limpahan dan impak itu secara langsung. Disebabkan itu, bagi saya cakap-cakap seperti ini tidak berasas,” katanya.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng sebelum ini berkata, cukai SST akan diperkenalkan dan berkuatkuasa pada 1 September depan, ketika ini kerajaan Persekutuan memutuskan cukai GST 6%, yang dilaksanakan bermula 2015, ditetapkan kadar sifar.