Najib: Ramai hadir Himpunan Ummah bukti sokongan kepada PH merosot

Najib Razak membantu kempen BN di Kampung Jalan Kebun, Shah Alam, hari ini menjelang Pilihan Raya Kecil Sungai Kandis pada minggu depan.

SHAH ALAM: Kejadiran peserta yang ramai dalam satu himpunan mempertahankan hak orang Melayu dan Islam di ibu negara pagi tadi adalah petanda sokongan rakyat kepada Pakatan Harapan (PH) semakin merosot selepas pilihan raya umum 9 Mei lalu, kata Datuk Seri Najib Razak.

Bekas perdana menteri itu berkata, umat Islam yang menghadiri Himpunan Kebangkitan Ummah di padang Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur itu menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap masa depan agama Islam dan orang Melayu di negara ini.

“Apa yang berlaku dalam negara kita selepas 9 Mei mengancam kedudukan dan masa depan agama Islam dan orang Melayu serta institusi yang berkait rapat dengan kepentingannya.

“Maka, mereka dengan sendiri bangkit dan menunjukkan kemarahan bahawa perkara ini amat tidak disenangi, ia juga petanda sokongan rakyat semakin menurun pada PH,” katanya ketika membantu kempen Barisan Nasional (BN) di Kampung Jalan Kebun, hari ini.

Lebih 2,000 umat Islam dari seluruh negara membanjiri padang Kelab Sultan Sulaiman di Kampung Baru, pagi tadi, bagi menyertai Himpunan Kebangkitan Ummah yang bertemakan “Malaysia Baru Pasca PRU14: Islam Melayu Terancam”.

Selain badan bukan kerajaan seperti Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Ikatan Muslimin Malaysia dan Pertubuhan Pribumi Perkasa, beberapa pemimpin Umno serta PAS turut hadir, termasuk Ketua Pemuda Umno, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki, calon BN di PRK Sungai Kandis, Datuk Lokman Noor Adam, Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan dan Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.

Mereka membantah tindakan mempertikaikan kedudukan Yang di-Pertuan Agong dan menolak pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

Najib berkata, bekas penasihat sosio-budaya kerajaan, Tan Sri Rais Yatim perlu menunjukkan bantahan secara terbuka terhadap pelaksanaan UEC atau kredibilitinya sebagai pejuang bahasa Kebangsaan akan dipertikaikan.

“Rais memang pejuang bahasa dan dia melihat kedudukan bahasa kebangsaan dipinggirkan, diabaikan dan tidak dipedulikan, ini sesuatu yang tidak pernah berlaku dalam sejarah negara.

“Sebagai pejuang bahasa, berdasarkan Perlembagaan negara, kedudukan bahasa itu jelas, maka kredibiliti beliau akan dipersoalkan kalau tidak hadir atau menyuarakan secara terbuka.”