Rais bidas UEC, gesa menteri jangan tunduk kepada tekanan

Rais Yatim berkata, Malaysia tidak memerlukan sistem pelbagai peperiksaan atau lebih daripada satu sistem pensijilan. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Bekas menteri, Tan Sri Rais Yatim yang merupakan ahli PPBM membidas Menteri Pendidikan, Maszlee Malik dalam satu perhimpunan yang kebanyakannya dihadiri ahli Umno dan PAS.

Rais menyerang rancangan Pakatan Harapan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) yang dikeluarkan sekolah menengah persendirian Cina sebagai kelayakan untuk kemasukan ke universiti awam.

Rais menyertai Himpunan Kebangkitan Ummah di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur, yang dihadiri kira-kira 3,000 peserta, termasuk pemimpin PAS dan calon Barisan Nasional di Pilihan Raya Kecil Sungai Kandis, Datuk Lokman Noor Adam.

“Dong Jiao Zong (pergerakan pendidikan Cina) mahu kerajaan mengiktiraf UEC, tetapi menteri kita sudah mempertimbangkan untuk mengkaji Seksyen 15, 16 dan 13 (Akta Pendidikan) dan sama ada UEC sejajar dengannya? Beliau perlu menjawab soalan ini!” katanya dipetik Malay Mail Online.

“Bukan kerajaan yang perlu bersama Dong Jiao Zong, tetapi Dong Jiao Zong yang perlu bersama kerajaan dan kementerian,” kata Rais yang terkenal menyokong penggunaan bahasa kebangsaan.

Pada 15 Julai lalu, Maszlee berkata, sebarang keputusan berhubung pengiktirafan UEC akan bersifat komprehensif dan holistik, tanpa menggugat kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Katanya, Kementerian Pendidikan sedang melakukan kajian holistik sebelum membuat sebarang keputusan berhubung pengiktirafan UEC.

Rais menggesa Maszlee tidak takut kepada tekanan untuk mengiktiraf UEC.

“Di Kelab Sultan Sulaiman pagi ini, rakyat sedia menyuarakan apa yang perlu dilakukan.”

Katanya, Malaysia tidak memerlukan sistem pelbagai peperiksaan atau lebih daripada satu sistem pensijilan.