Umno Kelantan: Adun kami bermaruah, tak mungkin lompat parti

Ahmad Jazlan Yaakub mendakwa ada usaha agresif untuk menarik ahli dan pemimpin Umno Kelantan menyertai PPBM. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Umno Kelantan menyangkal dakwaan 8 wakil rakyatnya di negeri itu akan menyertai PPBM kerana tiada sebarang maklumat dan tanda mereka akan berbuat demikian.

“Saya tak ada berita, yang jelas cuma khabar angin yang mengatakan ada pimpinan, Adun Umno Kelantan akan keluar parti. Saya menganggap ianya berita tidak benar.

“Setahu saya, semua 8 Adun Umno Kelantan masih bersama Umno dan setakat ini langsung tidak ada tanda-tanda mereka akan keluar parti,” kata Pengerusi Umno Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub kepada FMT hari ini.

Beliau yakin semua wakil rakyatnya tidak akan meninggalkan Umno kerana mereka bermaruah.

“Saya tak fikir mereka akan pergi kerana saya tahu mereka pemimpin bermaruah, pemimpin yang berjiwa besar, menerima takdir dan mereka ini adalah pemimpin berjuang untuk rakyat, bukan untuk kepentingan individu, saya yakin.”

Sebuah portal berita melaporkan seorang Adun Umno akan menyertai PPBM kerana kecewa dengan pucuk pimpinan dan sukar menjalankan tugas sebagai wakil rakyat selepas kejatuhan kerajaan Barisan Nasional.

Perkara itu disahkan Timbalan Pengerusi PPBM Kelantan, Datuk Sazmi Miah.

Jika Adun itu melompat parti, beliau akan menjadi satu-satunya wakil rakyat Pakatan Harapan di Kelantan kerana gabungan itu gagal memenangi sebarang kerusi pada pilihan raya umum 9 Mei lalu.

Sementara itu, Jazlan mendakwa terdapat usaha agresif daripada parti lawan untuk menarik ahli dan pemimpin Umno Kelantan menyertai PPBM.

“Kita tidak mampu untuk menahan mereka kerana Umno parti yang besar, terlalu ramai, mana mungkin kita dapat mengawal ahli-ahli kita.

“Begitu juga parti lain, dari PAS, PKR ada yang menyertai Umno. Maknanya perpindahan dari satu parti kepada satu parti ini tidak mampu dikawal oleh mana-mana pemimpin.”

Beliau berharap semua ahli dan pemimpin terus beristiqamah dengan Umno dan tidak mengkhianati amanah rakyat.

“Kita masih sebuah parti yang besar dalam negara ini, jumlah di Parlimen kita masih ramai, jumlah Adun kita masih ramai, tidak ada satu sebab mengapa kita nak sertai parti lain.

“Hanya dalam tempoh 3 bulan kita sebagai pembangkang, kalau parti kerajaan hari ini menunggu berpuluh tahun tubuh kerajaan, tidak mustahil bila sampai masa dan ketika, Umno kembali menjadi kerajaan.

“Kita mesti ingat amanah dan tanggungjawab yang diberi adalah amanah daripada parti, kita menang atas tiket parti, maka kita tak boleh mengkhianatinya.”