Isu tukang cuci mogok tidak akan berulang, kata hakim

Dua kakitangan mahkamah membersihkan koridor di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur dalam sesi gotong-royong selepas tukang cuci mengadakan mogok sejak 7 Julai lalu akibat tidak dibayar gaji sejak Aidilfitri. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Kira-kira 200 kakitangan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, termasuk hakim Mahkamah Tinggi dan pegawai kehakiman menyertai sesi gotong-royong di Kompleks Mahkamah di sini, hari ini berikutan pekerja pembersihan mogok selepas mendakwa kontraktor tidak membayar gaji mereka sejak bulan lalu.

Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zaharah Ibrahim memberi jaminan isu itu tidak akan berulang pada masa akan datang.

“Kami telah mengambil langkah yang perlu kerana ia lebih kepada salah faham…hari ini kami mengadakan perbincangan dengan seorang wakil kontraktor pembersihan, Perfect Three Solution Sdn Bhd, dan berharap isu itu akan selesai esok,” katanya selepas selesai aktiviti gotong-royong di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur kira-kira 3 petang tadi.

Sementara itu, Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum berkata akan turun padang sekali lagi untuk memastikan pekerja pembersihan kembali bertugas esok.

“Saya sendiri akan datang dan periksa esok,” katanya.

Pegawai Unit Komunikasi Korporat Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia, Suzarika Sahak berkata kerja gotong-royong sukarela yang turut disertai ketua hakim negara itu bermula dengan sesi taklimat sebelum kerja pembersihan dimulakan kira-kira 10.30 pagi tadi.

Richard Malanjum (kanan) meninjau keadaan sekitar Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur ketika gotong-royong bersama kakitangan mahkamah hari ini. (Gambar Bernama)

“Aktiviti gotong-royong ini meliputi 8 tingkat bangunan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, termasuk kafeteria, tandas serta pejabat kakitangan dan diagihkan kepada 14 stesen di sayap kiri dan kanan mahkamah.”

Richard yang tiba kira-kira 9.34 pagi membuat lawatan ke bangunan itu sebelum bersama pegawai lain bergotong-royong membersihkan serta menanam pokok di persekitaran kompleks tersebut.

Turut bersama beliau adalah Zaharah, serta 5 hakim lain, iaitu Datuk Hasnah Mohammed Hashim, Datuk Wan Ahmad Farid, Datuk Suffian Abdul Razak, Datuk Ahmad Firuz Jaffil dan Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab.

Sementara itu, seorang kakitangan mahkamah yang enggan dinamakan berkata, mereka hanya menerima notis untuk sesi gotong-royong itu semalam.

“Sejak seminggu lalu, kami sudah mengambil inisiatif sendiri membersihkan kawasan yang dilihat kotor seperti mencuci tandas dan menyapu koridor di aras kami bekerja.”

Mengenai isu mogok tukang cuci yang didakwa berlaku sejak Jun lalu, katanya, beliau hanya tahu mereka tidak dibayar gaji, namun tidak pasti tentang butiran sebenar isu itu.

Semalam, beberapa portal berita melaporkan lebih 20 pekerja pembersihan memprotes sejak 7 Julai lepas kerana tidak menerima gaji sejak Hari Raya Aidilfitri lalu.

Difahamkan, 100 pekerja pembersihan tidak datang bekerja sejak seminggu lalu daripada keseluruhan 120 orang dengan masa bekerja 6 hari seminggu, bermula Isnin hingga Sabtu.

Tinjauan Bernama di kawasan koridor mahkamah itu mendapati ada banyak puntung rokok yang dibuang di tempat tidak sepatutnya, walaupun kompleks mahkamah dikategorikan sebagai zon larangan merokok.

Tinjauan di kafeteria pula mendapati banyak pinggan mangkuk terbiar di atas meja tanpa dibersihkan.