Najib, Zahid kini mahu bercakap seperti ‘malaikat’, kata Khairuddin

Khairuddin berkata, kedua-dua pemimpin Umno itu sekarang bercakap seolah-olah “malaikat’ tetapi rakyat tidak akan tertipu kerana mengenali siapa mereka sebenar.

PETALING JAYA: Seorang pemimpin PPBM hari ini menggesa bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dan presiden Umno yang baru, Datuk Seri Zahid Hamidi supaya menutup mulut dan tidak mencampuri perancangan penambahbaikkan sistem pentadbiran ekonomi negara yang dijalankan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, Najib dan Zahid harus mencermin muka sendiri terlebih dahulu dan menyedari siapa diri mereka sebenar sebelum mempersoalkan langkah kerajaan sekarang merombak tampuk pentadbiran beberapa agensi kerajaan.

“Jati diri Zahid dan Najib tidak elok pun dan dulu ketika mereka memerintah negara pelbagai khazanah negara serta duit rakyat dirompak oleh puak kleptokrasi ini,” kata beliau dalam satu kenyataan kepada FMT hari ini.

Bekas calon PH bagi Parlimen Jasin itu berkata, kedua-dua pemimpin Umno itu sekarang bercakap seolah-olah “malaikat’ tetapi rakyat tidak akan tertipu kerana mengenali siapa mereka sebenar.

Selain itu katanya, mereka tidak harus menganggap hanya pentadbir di bawah kerajaan lepas sahaja yang layak memegang tampuk pentadbiran kerana PH mempunyai calon yang lebih baik dan berkelayakan.

“Kita mempunyai ramai muka baru yang mempunyai kepakaran tinggi untuk mentadbir agensi kerajaan, malah calon yang sedang disusun atur kerajaan PH adalah bersih, cekap dan amanah,” katanya.

Kharuddin jelas memberi respons kepada kenyataan Najib sebelum ini yang mempersoalkan langkah Perdana Menteri Tun Dr Mahahthir mahu membuat rombakan menyeluruh terhadap kepimpinan syarikat pelaburan kerajaan, Khazanah Nasional atas dakwaan ia telah lari daripada objektif asal penubuhannya.

Menafikan dakwaan itu, Najib dilaporkan berkata, tiada satu pun struktur pentadbiran Khazanah dibuat berdasarkan politik, sebaliknya ia dipimpin oleh tokoh profesional yang berpengalaman dan mempunyi rekod pencapaian terbaik.

Najib berkata, sewaktu mengambil alih Khazanah, aset syarikat itu hanya berjumlah RM33 bilion, tetapi melonjak kepada RM134 bilion ketika beliau meninggalkan kerajaan.

Selain itu, presiden Umno yang juga bekas timbalan perdana menteri, Zahid menentang keras sebarang usaha kerajaan merombak Majlis Amanah Rakyat atau Mara melalui penyerapan dan pengasingan ke bawah beberapa kementerian, sebaliknya mahu badan itu dikekalkan sebagai agensi amanah Bumiputera di bawah satu kementerian.

Beliau berkata, Umno menjangka langkah itu sebenarnya bertujuan menutup Mara yang telah banyak berjasa kepada pembangunan orang Melayu dan bumiputera.

Khairuddin berkata, rakyat tidak perlu curiga terhadap niat murni kerajaan PH merombak agensi terbabit bagi menjunjung amanah rakyat secara telus dan dengan cara terbaik.

Beliau berkata, Najib dan Zahid sudah tidak relevan dan tidak harus bersikap seperti ketam yang mahu mengajar anaknya berjalan lurus.

“Personaliti ini amat jijik dan terlalu korup pada satu masa dulu,” katanya.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2018/07/26/najib-bimbang-masa-depan-sektor-korporat-selepas-khazanah/

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2018/07/26/bn-beri-amaran-pelaburan-khazanah-boleh-terjejas/

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2018/07/28/mara-perlu-kekal-entiti-berwibawa-kata-najib/

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2018/07/28/umno-bantah-pecahkan-mara-sukar-bantu-melayu-bumiputera-kata-zahid/