Pemimpin PKR gesa Selcat Selangor siasat lantikan ahli majlis

Johari Abdul menggesa PKR tidak mengabaikan dakwaan kronisme dalam pelantikan ahli majlis tempatan di Selangor.

AMPANG: Pemimpin PKR yang bertanggungjawab ke atas ahli Parlimennya di Dewan Rakyat menggesa jawatankuasa ketelusan bipartisan di Selangor menyiasat dakwaan kronisme dan nepotisme oleh 2 pemimpin parti di negeri itu yang melepaskan jawatan mereka minggu lalu.

Ketua Whip PKR, Datuk Johari Abdul berkata, Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat) tidak patut mengabaikan dakwaan itu.

“Kita tidak boleh membiarkannya begitu saja,” katanya selepas menghadiri sebuah majlis di mana Rafizi Ramli mengumumkan pencalonannya untuk jawatan timbalan presiden PKR secara rasmi hari ini.

Setiausaha Pemuda PKR Selangor, Syed Badli Shah Syed Osman dan Ketua Pemuda PKR Sabak Bernam, Abdul Mutalib Ahmad melepaskan jawatan mereka dengan mendakwa wujud amalan kronisme dan nepotisme dalam pemilihan ahli majlis di Selangor.

Johari berkata, penting untuk menyiasat dakwaan mereka, sama ada berlaku rasuah dalam bentuk kontrak melalui pelantikan politik.

“Ini harus disiasat dan keputusannya perlu diumumkan, jika ada sebarang salah laku, tindakan mesti diambil.”