Penyokong PAS akan undi saya, kata calon PKR

Zawawi Ahmad Mughni berkata, beliau mendapat maklum balas positif daripada penyokong PAS yang mahu mengundinya, walaupun pemimpin parti Islam itu menggesa ahlinya menyokong calon BN.

KLANG: Calon PKR, Zawawi Ahmad Mughni yakin separuh daripada penyokong PAS akan mengundinya dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis Sabtu depan, walaupun pemimpin parti Islam itu menggesa ahlinya menyokong calon Barisan Nasional (BN).

Katanya, keyakinan itu berdasarkan maklum balas daripada penyokong PAS ketika berkempen.

“Selepas bertemu dengan penyokong PAS di peringkat bawah, saya mendapat maklum balas positif mereka akan berikan undi kepada saya, walaupun tahu ada arahan pihak atasan untuk undi calon pembangkang.

“Sebenarnya dalam sistem demokrasi, ahli ada pilihan untuk pilih wakil rakyat yang mereka rasakan layak atau wajar mewakili mereka.

“Pengundi PAS di sini ada 7,000 pada pilihan raya umum ke-14 lalu. Kita menyasarkan 50% atau sekurang-kurangnya 3,000 pengundi PAS akan mengundi saya pada PRK kali ini,” katanya dalam sidang media di bilik gerakan PKR DUN Sungai Kandis, hari ini.

Semalam, Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan menerusi ceramah di Kota Raja, secara terbuka menyeru ahli PAS menolak Pakatan Harapan (PH) dalam PRK Sungai Kandis kerana gabungan itu tidak mengamalkan dasar pemerintahan Islam.

“Kita tidak mahu kerajaan jahiliah diganti kerajaan jahiliah, kerajaan PH tidak mengamalkan pentadbiran Islam. Kita kena pastikan mereka kalah, PH kita kena tolak.”

Pesuruhjaya PAS Selangor, Salehin Mukhyi pula menyeru penyokong PAS di DUN Sungai Kandis mengundi BN bagi memastikan ada semak dan imbang dalam kerajaan Selangor.

Sementara itu, Zawawi berkata, Umno hilang arah tujuan selepas mengalami kekalahan terbesar dalam sejarah parti itu, menyebabkan pucuk pimpinannya kini dalam fasa “koma”.

“Saya melihat pihak sana tidak sepakat apabila menghadapi kejutan yang begitu besar, tewas pada PRU lalu. Masing-masing hilang pedoman hingga ada yang ke timur, ke barat, ke atas, bawah dan ada yang koma.

“Jadi, kita lihat mereka dalam keadaan terumbang-ambing, kita yakin kita berada di landasan betul untuk memperjuangakn nasib rakyat.”

Beliau merujuk kenyataan bekas ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin yang mahu parti itu berdikari dan tidak bergantung kepada parti lain, termasuk PAS untuk menang, tetapi beberapa pemimpin kanannya menyuarakan kesediaan bekerjasama dengan parti Islam itu.

“Kerjasama adalah baik, tetapi Umno perlu berdikari. Kenapa kita perlu bergantung kepada parti lain?” soal Khairy ketika turun membantu kempen calon BN, Datuk Lokman Noor Adam, semalam.

Kerusi Sungai Kandis kosong susulan kematian penyandangnya, Mat Shuhaimi Shafiei akibat kanser limfoma pada 2 Julai lalu dan Lokman akan berdepan Zawawi serta calon bebas, K Murthy, Sabtu depan, selepas PAS tidak menurunkan calonnya untuk mengelakkan perpecahan undi.

Pada pilihan raya umum 9 Mei lalu, Shuhaimi memenangi kerusi itu (dahulu Sri Muda) untuk penggal ke-3 berturut-turut dengan 23,998 undi, mengalahkan calon BN, Datuk Kamaruzzaman Johari (11,518 undi), calon PAS, Mohd Yusof Abdullah (7,573 undi) dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hanafiah Husin (76 undi).