Dedah kriteria lantikan politik, orang kuat gesa PKR Selangor

Syed Badli berkata setiap lantikan politik perlu diteliti. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Pemimpin Pemuda PKR yang meletakkan jawatan di Selangor baru-baru ini menggesa pemimpin negeri mendedahkan kriteria orang-orang yang dilantik ke syarikat milik kerajaan.

Syed Badli Shah Syed Osman membuat gesaan itu selepas timbulnya tuduhan mengatakan dia tidak terpilih menjadi ahli majlis kerajaan tempatan kerana tak menepati kriteria seperti latar belakang pendidikan, taraf jawatan, pengalaman serta kepakaran.

“Tentunya sebagai sebuah kerajaan, setiap jawatan lantikan politik perlu diteliti dan melalui penilaian beserta merit kriteria tertentu.

“Sehingga ke hari ini, mereka yang menjawat jawatan penting dalam GLC di Selangor tidak pernah didedahkan atas kriteria apa mereka dilantik, siapa mereka, apa latar belakang mereka dan apa kaitan mereka dengan pimpinan tertentu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Syed Badli seterusnya mendakwa terdapat pelantikan tidak dibincangkan dengan ketua-ketua bahagian atau biro politik PKR nasional atau melalui proses penilaian merit.

“Contoh beberapa individu yang dilantik menjawat jawatan penting dalam Majlis Sukan Negeri Selangor. Individu-individu tersebut dikaitkan sebagai orang kuat seorang pemimpin kanan negeri.

“Justeru atas penilaian apakah individu-individu terbabit boleh dilantik menduduki agensi kerajaan,” katanya.

Beliau juga mendakwa perkara sama berlaku dalam pelantikan ahli majlis kerajaan yang sedang berlangsung, di mana individu yang dikaitkan dengan beberapa pemimpin negeri diangkat ke jawatan tersebut.

“Mereka menyebut bahawa taraf pendidikan sangat mustahak. Namun dikesali ada diantara ahli majlis yang dipilih kali ini hanya berkelulusan SPM sahaja.

“Malah ada yang hanya sekadar tamat tingkatan 3,” katanya.

“Jika benar dakwaan ini, bermaksud nepotisme berkepentingan sedang diamalkan,” tambahnya.

Beliau berkata kegagalan segelintir pemimpin di Selangor mengamalkan prinsip reformasi mendorongnya meletakkan jawatan.

Syed Badli bagaimanapun masih menyandang jawatan timbalan setiausaha Pemuda PKR nasional.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2018/07/27/setiausaha-amk-pkr-selangor-letak-jawatan-dakwa-kronisme-nepotisme/

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2018/07/27/pkr-sepang-dakwa-ada-nepotisme-kronisme-di-selangor/