Jenayah berat mungkin meningkat jika Sosma dihapuskan, kata ahli akademik

Undang-undang seperti Sosma ini perlu dikekalkan di negara ini, terutamanya dalam usaha mengekang jenayah berat dan kegiatan berkaitan terrorisme. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Langkah kerajaan mahu menghapuskan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) mendedahkan keselamatan negara kepada risiko kegiatan jenayah dan keganasan, kata seorang pakar terorisme tempatan.

Mohd Mizan Mohammad Aslam dari Universiti Malaysia Perlis berkata, Sosma hanya perlu ditambah baik dari masa ke masa, bukannya dihapuskan.

Beliau turut melahirkan rasa bimbang jika Sosma dihapuskan kerana ia boleh menyebabkan peningkatan kegiatan jenayah berat.

Selepas diasak dengan pelbagai tuduhan berkaitan ketidakadilan dan pelanggaran hak asasi manusia, akhirnya kerajaan akur memansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan digantikan dengan Sosma mulai 2012.

“Tempoh transisi dari ISA ke Sosma dahulu menyaksikan peningkatan kes jenayah di Malaysia, terutamanya dengan bebasnya ramai penjenayah berat sehingga menyebabkan kegusaran kepada rakyat dan pemerintah pada masa itu. Sebaliknya dengan adanya Sosma masalah itu dapat diatasi.

“Undang-undang seperti Sosma ini perlu dikekalkan di negara ini, terutamanya dalam usaha mengekang jenayah dan aktiviti berkaitan terrorisme. Kerajaan boleh meminda Sosma untuk menjadikannya lebih baik dan lebih praktikal dari masa ke masa,” katanya kepada FMT.

Pada 22 Julai lalu, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan kerajaan akan memansuhkan Sosma, undang-undang kontroversi yang diluluskan pada 2012 dan dilihat sebagai pengganti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Perdana menteri berkata, rakyat perlu dilindungi undang-undang adil, tetapi bukan Sosma yang membolehkan pihak berkuasa menangkap sesiapa sahaja tanpa prosiding mahkamah.

Sosma yang diluluskan Dewan Rakyat pada 4 April 2017, bertujuan membendung aktiviti yang dianggap memudaratkan ketenteraman awam dan keselamatan negara.

Sosma memberi kuasa kepada anggota keselamatan menangkap seseorang tanpa waran, menahannya selama 24 jam bagi tujuan siasatan dan melanjutkan tempoh tahanan tidak melebihi 28 hari.

Mizan berkata, pendirian kerajaan mahu menghapuskan Sosma juga menjadikan proses pemulihan tahanan tergantung dan tidak boleh disempurnakan.

“Pada ketika ini aktiviti pemulihan dan program deradikalisasi tahanan Sosma juga tergantung kerana masih menunggu dasar yang jelas daripada pihak kerajaan. Ini akan menjadikan langkah pemulihan tidak dapat dilengkapkan sebagaimana sepatutnya,” katanya.

Sosma selamatkan nyawa dan harta, kata Najib

Ambil iktibar kesan tiada ISA sebelum mansuh Sosma, kata Musa Hassan

Dr M perlu cari pengganti Sosma, kata bekas KPN