Lawas: Mayat lelaki OKU disambar buaya dijumpai

Dalam kejadian pada kira-kira 12 tengah hari semalam, mangsa tiba-tiba disambar dan ditarik ke dalam sungai oleh seekor buaya. (Gambar Bernama)

LAWAS: Mayat seorang lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) yang disambar buaya semalam semasa mengambil air di tebing sungai di Kampung Baru Seberang Mission ditemukan oleh pasukan mencari dan menyelamat pada kira-kira 6.40 pagi ini.

Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Lawas dalam kenyataan hari ini berkata, mayat Efendi Panil, 45, dijumpai tersangkut di ranting kira-kira 700 meter dari lokasi kejadian.

“Anggota badan mangsa masih dalam keadaan sempurna cuma terdapat kesan calar di muka dan bahu sebelah kanan,” katanya.

Menurutnya, mayat lelaki itu diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

Dalam kejadian pada kira-kira 12 tengah hari semalam, mangsa tiba-tiba disambar dan ditarik ke dalam sungai oleh seekor buaya.