BN bimbang pengguguran kes mahkamah pemimpin PH

Azalina Othman Said berkata semua pihak seharusnya berpegang dengan prinsip ‘rule of law’. (Gambar Twitter)

PETALING JAYA: Barisan Nasional (BN) melahirkan kebimbangan terhadap trend pengguguran kes mahkamah melibatkan pemimpin Pakatan Harapan (PH) terutama melibatkan kes jenayah seperti hasutan, pecah amanah dan pembocoran maklumat.

Dalam satu kenyataan, Ketua Whip BN Datuk Seri Azalina Othman Said berkata badan kehakiman perlu kekal bebas daripada campur tangan badan eksekutif atau legislatif.

“Kerajaan PH perlu lebih berhati-hati dalam setiap tindakan yang diambil agar tidak mewujudkan persepsi yang salah terhadap badan kehakiman dan perundangan negara.

“Semua pihak seharusnya berpegang dengan prinsip ‘rule of law’ supaya prestij badan kehakiman negara terus dihormati,” katanya.

Bagaimanapun beliau menghormati kedudukan dan kuasa Peguam Negara untuk berperanan secara adil seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Negara.

“Perkara 145(3) menegaskan kuasa budi bicara Peguam Negara adalah mutlak dan tidak boleh dicabar di mana-mana mahkamah.”

Semalam, Peguam Lim Guan Eng berkata keputusan menggugurkan tuduhan rasuah terhadap menteri kewangan itu 2 tahun lepas bergantung kepada budi bicara Peguam Negara, dan menambah Mahkamah Tinggi memberi tempoh sehingga 3 September depan kepada pihak pendakwaan untuk memutuskan tentang penarikan balik kes.

Ramkarpal Singh berkata buat masa sekarang tidak ada pengesahan sama ada kes Lim akan digugurkan kerana pihak pendakwaan belum memeriksa representasi yang dikemukakan oleh pembelaan.

Lim dituduh pada 2016 menggunakan jawatan awamnya untuk meluluskan permohonan sebuah syarikat untuk menukar status tanah pertanian kepada perumahan.

Beliau juga dituduh menggunakan kedudukannya untuk membeli sebuah banglo daripada Phang Li Koon pada harga RM2.8 juta di bawah harga pasaran sebenar sebanyak RM4.27. Phang dituduh bersubahat.

Lim mengangkat sumpah jawatan sebagai menteri kewangan pada 21 Mei lepas berikutan kemenangan Pakatan Harapan dalam pilihan raya umum 9 Mei.

Mahkamah tetap 3 September keputusan kes banglo Lim Guan Eng