Tak boleh beku akaun lebih 90 hari, mahkamah beritahu kerajaan

Polis menunjukkan wang tunai yang dirampas dari suspek. (Gambar Bernama)

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan dalam satu keputusan menetapkan agensi penguatkuasaan undang-undang hanya boleh membekukan akaun suspek yang disiasat bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (Amla) selama 90 hari.

Mahkamah berkata walaupun kerajaan boleh memohon harta-harta suspek disita melalui Jabatan Peguam Negara (AGC), suspek mesti didakwa dalam tempoh masa setahun.

Panel hakim 3 anggota diketuai Datuk Umi Kalthum Abdul Majid juga menetapkan tempoh sitaan 1 tahun berjalan dari tarikh perintah pembekuan dikeluarkan dalam hal perintah-perintah pembekuan sebelum ini.

Keputusan itu akan memberi kesan kepada polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan AGC untuk mendakwa orang-orang yang akaun banknya dibekukan dalam siasatan 1MDB.

Ia juga bermakna penyiasat dan pendakwaraya mesti menyiapkan tugas mereka dalam tempoh 1 tahun, dan sekiranya gagal harta-harta yang dibeku dan disita mesti dipulangkan.

Keputusan itu dibuat ketika membenarkan rayuan oleh seorang ahli perniagaan, Lim Hui Jin, yang mana akaun banknya di CIMB Bank Berhad dibekukan untuk satu tempoh yang lama walaupun tiada tuduhan dikenakan terhadapnya.

Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli, dalam penghakiman 17 halaman yang mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi, memerintahkan sejumlah wang bersama faedah terakru dalam akaun bank Lim dipulangkan.

Lim, yang menamakan bank, seorang timbalan pendakwaraya awam (DPP), ketua polis negara dan kerajaan, juga dianugerahkan RM10,000 sebagai kos.

Ibu Lim, Tai Hoo Eng, disiasat oleh polis yang membekukan akaun banknya. Kemudiannya, AGC meperoleh perintah sitaan ke atas akaun-akaunnya pada 2014.

Polis membekukan akaun bank Lim pada 24 Jun 2014 manakala DPP peroleh perintah lucut hak pada 11 September 2014. Bagaimanapun, hanya Tai dikenakan 21 tuduhan untuk kesalahan pengubahan wang.

Abdul Rahman berkata perintah sitaan ke atas Lim tamat pada 23 Jun 2015.

Beliau berkata ketika Lim memfailkan tindakan undang-undang pada 5 Mei 2016, perintah pembekuan dan penyitaan sudah tamat kerana dia tidak didakwa.

Abdul Rahman berkata menahan harta seseorang melepasi tempoh yang dibenarkan undang-undang menyalahi Perkara 13(1) Perlembagaan Persekutuan, yang menyatakan tiada seorang pun boleh dilucutkan hartanya.

Peguam Rabinder Singh, Amir Faliq Mohamad Jamil dan Siti Norsyahidah Ismail tampil bagi pihak Lim, manakala Muzilah Mohmad Arsad tampil bagi pihak kerajaan. K Jeyanthi dan Marina Nasution tampil mewakili bank.