Australia sahkan Putrajaya tak mohon ekstradisi Sirul Azhar

Julie Bishop mengadakan pertemuan dengan Wan Azizah Wan Ismail kira-kira 30 minit di bangunan Parlimen hari ini.

KUALA LUMPUR: Menteri Luar Australia, Julie Bishop mengesahkan Putrajaya tidak mengemukakan permohonan untuk mengekstradisi bekas anggota polis, Sirul Azhar Umar yang disabitkan bersalah membunuh warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu pada 2006.

“Dia dalam tahanan imigresen dan tiada permohonan ekstradisi oleh kerajaan Malaysia seperti disahkan Perdana Menteri, (Tun) Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini.

“Tidak sesuai untuk saya membuat spekulasi mengenai soalan anda sehingga Malaysia membuat permohonan ekstradisi di bawah perjanjian yang ada di antara kedua-dua negara,” katanya selepas menemui Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di bangunan Parlimen, hari ini.

Pada 8 Jun lalu, Dr Mahathir berkata, Putrajaya tidak meminta Australia menghantar Sirul ke Malaysia.

Pada 29 Jun lalu, Wan Azizah dilaporkan berkata, Putrajaya mungkin menukar hukuman mati ke atas Sirul untuk membolehkan Australia menghantar pembunuh itu ke negara ini.

Kerajaan Australia enggan mengekstradisi beliau ke Malaysia kerana bertentangan dasar negara itu yang membantah hukuman mati ke atas pesalah jenayah berat.

Bishop berkata, beliau tidak berbincang secara khusus dengan Wan Azizah berhubung permohonan ekstradisi untuk penjenayah yang dijatuhkan hukuman mati.

“Kita membincangkan hasrat Malaysia untuk menghapuskan hukuman mati dan ini adalah pendirian Australia yang memfokuskan beberapa perkara.”

Altantuya dipercayai ditembak mati sebelum mayatnya diletupkan dengan bahan letupan di kawasan hutan sekunder di Mukim Bukit Raja, Klang, antara 10 malam 19 Oktober 2006 dan 1 pagi 20 Oktober 2006.

Pada 2009, bekas anggota Unit Tindakan Khas polis, Sirul dan Azilah Hadri didapati bersalah membunuh Altantuya.

Pada 2013, Mahkamah Rayuan menterbalikkan hukuman mereka, namun susulan rayuan pihak pendakwaan, hukuman mati terhadap mereka dikekalkan Mahkamah Persekutuan.

Bagaimanapun, Sirul melarikan diri ke Australia dan ditahan Imigresen di Sydney selepas Interpol mengeluarkan notis merah terhadapnya.

Dia yang ditahan di pusat tahanan itu sejak 2015 dengan harapan mendapat suaka Australia, mendakwa diarahkan “orang penting” untuk membunuh Altantuya 12 tahun lalu.