AG tarik balik rayuan, Zaid kekal bebas tuduhan buat kenyataan jelik

Mahkamah membatalkan rayuan pihak pendakwaan dan mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen yang melepas dan membebaskan Zaid tanpa memanggilnya membela diri terhadap pertuduhan itu.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengekalkan keputusan melepas dan membebaskan bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim daripada pertuduhan membuat kenyataan bersifat jelik terhadap bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang disiarkan di dalam blognya, 3 tahun lalu.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali membuat keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Datuk Jamil Aripin memaklumkan Jabatan Peguam Negara bersetuju menarik balik rayuan pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen yang melepaskan Zaid, 67, daripada pertuduhan itu.

Jamil berkata jabatan itu menerima representasi yang dikemuka Zaid, selaku Orang Kena Saman (OKS) melalui peguamnya M Puravalen.

“Pihak peguam responden (Zaid) telah menulis repesentasi dan Jabatan Peguam Negara bersetuju untuk menarik balik rayuan,” katanya semasa pengurusan kes itu.

Oleh itu mahkamah membatalkan rayuan pihak pendakwaan dan mengekalkan keputusan Hakim Mahkamah Sesyen Zaman Mohd Noor yang melepas dan membebaskan Zaid tanpa memanggilnya membela diri terhadap pertuduhan itu.

Zaid, ketika ditemui pemberita di luar mahkamah berterima kasih kepada peguamnya dan Peguam Negara atas keputusan itu yang disifatkan keputusan yang tepat.

Pada 4 Dis 2015, Zaid yang juga anggota DAP dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menggunakan perkhidmatan aplikasi internet dan secara sedar membuat serta memulakan pernyataan yang bersifat jelik terhadap Najib di laman http://www.zaid.my bertajuk “Rally Behind Tun Dr Mahathir Mohamad” dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut di Pejabat Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bukit Aman di sini pada 3.20 petang, 3 Sept 2015.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya.

Seramai 10 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan kes itu.