Azmin nafi PKR berpecah kepada 2 kem

Azmin Ali meminta semua pihak tidak melayan perkara berkenaan kerana ia adalah agenda Umno bagi memecah belahkan perpaduan PH. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hari ini menafikan parti itu berpecah kepada 2 kem.

Beliau turut menggesa agar tidak melayan cerita seperti itu.

“Jangan layan semua cerita-cerita. Datuk Seri Anwar Ibrahim telah berulang kali menyatakan beliau sendiri sendiri memberikan sokongan yang padu kepada kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri.

“Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail telah mengeluarkan kenyatan menyeru semua ahli PKR mesti mendokong kepimpinan Dr Mahathir untuk memimpin kerajaan baru Pakatan Harapan (PH),” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

FMT sebelum ini memetik sumber dalaman mengatakan parti itu kini terbahagi kepada 2 iaitu satu setia kepada Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan satu lagi kepada Azmin.

Sumber tersebut yang rapat dengan kem Pro-Anwar memberitahu kebanyakan ahli yang menyertai PKR pada awal penubuhannya melahirkan kebimbangan terhadap Azmin kerana hubungan rapatnya dengan Dr Mahathir.

Mengulas lanjut, Azmin yang juga merupakan menteri hal ehwal ekonomi meminta semua pihak tidak melayan perkara berkenaan kerana ia adalah agenda Umno bagi memecah belahkan perpaduan PH yang semakin utuh.

Sementara itu, mengulas dakwaan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak bahawa kerajaan Selangor akan membayar RM2.7 bilion untuk mengambil alih Syarikat Pengeluar Air Selangor (SPLASH), Azmin menafikannya.

Azmin berkata, rundingan pengambilalihan tersebut masih lagi berjalan.

“Apabila saya tinggalkan kerajaan negeri, proses rundingan telah dilanjutkan sehingga 4 Julai.

“Saya diberitahu ia dilanjutkan untuk sebulan lagi sejak itu dengan mendapat kelulusan Kabinet,” katanya.

Dr M tak guna Azmin sekat pengaruh saya, kata Anwar

Tian Chua nafi wujud kem Anwar, Azmin dalam PKR