Khairy sangkal fakta KBS ke-8 terburuk amal rasuah

Khairy Jamaluddin berkata rasuah bermaksud ada unsur rasuah dalam pemberian kontrak.

KUALA LUMPUR: Bekas menteri belia dan sukan (KBS) Khairy Jamaluddin menyangkal keputusan tinjauan berkaitan tahap perlakuan rasuah kementerian itu ketika pentadbirannya dengan mendakwa fakta itu tidak tepat.

Khairy berkata, maklumat yang diberikan Timbalan Menteri KBS Steven Sim tidak benar kerana pihaknya dahulu mengikut peraturan yang ditetapkan Kementerian Kewangan dalam proses pemberian tender dan sebagainya.

“Bagi mendapatkan tender, banyak jenis dan proses yang boleh dibuat. Tidak melalui tender terbuka, tidak bermaksud tidak ada proses penilaian ketat kerana ia juga mengikut peraturan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan.

“Saya harap tiada rumusan bahawa ini semua rasuah dan sebagainya. Rasuah itu maksudnya ada unsur rasuah dalam pemberian kontrak.

“Tetapi dari segi jenis perolehan sama ada melalui tender terbuka, tender terhad ‘request per proposal’ dan sebagainya, itu cuma cara perolehan dan itu tidak membuktikan berlakunya rasuah atau tidak,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.

Hari ini, Steven memgumumkan kementerian itu berada dalam kedudukan 10 teratas paling teruk dalam kedudukan perlakuan rasuah.

Steven berkata selepas sebulan meninjau kementerian itu, pihaknya mengenal pasti kerajaan terdahulu menganugerahkan sebahagian besar kontrak kementerian tanpa melalui proses tender terbuka.

Mengulas lanjut, Khairy berkata pemberhentian pelaksanaan Pelan Pengurusan Risiko Rasuah (CRM) bukanlah keputusan yang dibuat kementeriannya dahulu.

“CRM yang dikatakan diarah henti pada tahun lepas adalah tidak tepat. Pada 18 Mei tahun lalu, timbalan ketua persuruhjaya SPRM sendiri menasihatkan supaya program itu ditangguhkan.

“Ia bukan arahan daripada menteri atau arahan dibuat di peringkat KBS tetapi satu cadangan yang dibuat SPRM sendiri,” katanya.

Beliau menambah, SPRM menangguhkan pelaksanaan program itu sehingga kedua-dua pihak dapat berbincang dan mengenalpasti bagaimana sistem itu dapat dilaksanakan dengan baik.

“Saya tetap mengalu-alukan usaha menteri dan timbalan menteri untuk memperkenalkan kembali CRM kerana saya rasa sistem itu baik untuk mengurangkan tahap ketirisan dan sebagainya,” katanya.

Nafi tarik peruntukan

Khairy menafikan pernah menarik peruntukan kepada persatuan belia yang bersikap kritikal terhadap kerajaan sebelum ini.

Katanya, perkara itu tidak pernah dilakukan sepanjang beliau berkhidmat sebagai menteri.

“Sewaktu jadi menteri saya tak pernah tarik peruntukan kepada mana-mana persatuan atau individu walaupun mereka kritikal menyuarakan pandangan yang tak sehaluan dengan kerajaan. Malah, saya pernah lantik mereka yang hadir perhimpunan anti kerajaan sebagai ikon belia.

“Sebarang tuduhan mestilah dibuktikan, setahu saya KBS sebelum ini tak pernah tarik peruntukan,” katanya ketika mencelah ucapan penggulungan Menteri KBS Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu, Syed Saddiq dalam ucapannya berkata mahu membebaskan persatuan belia daripada pengaruh politik.

Hal ini kerana, menurut Syed Saddiq, ada beberapa persatuan belia yang menyokong kerajaan kerana bimbang peruntukan mereka ditarik.

Rasuah: KBS kementerian kelapan paling buruk