Wan Azizah: Itu bukan suara Anwar dalam klip audio kecam Azmin

Wan Azizah Wan Ismail berkata, Anwar sendiri menafikan dan berkata itu bukan suaranya dalam klip audio yang tersebar di media sosial. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, bukan suara Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam beberapa rakaman audio tersebar di media sosial yang mengecam Datuk Seri Azmin Ali sebagai “barua” perdana menteri.

“Itu memang tak betul…Allah, siapa punya kerja ni?

“Saya sudah tanya beliau dan juga saya tahu dengan pasti itu bukan suara suami saya,” kata presiden PKR itu selepas menghadiri mesyuarat Tun Dr Mahathir Mohamad dengan pemimpin tertinggi Pakatan Harapan di bangunan Parlimen, hari ini.

Beberapa rakaman audio pendek tersebar di media sosial, di mana suara yang menyerupai Anwar mengecam Azmin sebagai barua Dr Mahathir dan mengakui meminta Rafizi Ramli mencabar timbalan presiden PKR itu.

“Sebab itu saya suruh Rafizi lawan Azmin sebab Azmin nak jadi barua kepada Mahathir,” demikian menurut suara yang menyerupai ketua umum PKR itu.

Sementara itu, Wan Azizah yang juga timbalan perdana menteri, sedih dengan pemergian Adun Seri Setia, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin yang disifatkannya sebagai golongan intelektual.

“Sebab Shaharuddin yang kami ketegahkan adalah intelektual dan kita rasa sedih. Saya mengucapkan salam takziah kepada keluarga beliau.”