Badan pemikir beri amaran kuasa tak seimbang dengan Dr M dalam Khazanah

Dr Mahathir Mohamad berkata, ia adalah tanggungjawabnya untuk mengembalikan Khazanah ke landasan betul. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Sebuah badan pemikir menyuarakan keraguan berhubung keputusan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mempengerusikan dana kekayaan negara, Khazanah Nasional Berhad.

Penyelaras Unit Demokrasi dan Tadbir Urus di Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas), Aira Azhari berkata, kuasa “besar” perdana menteri mungkin menyebabkan ahli lembaga pengarah tidak berani membantah keputusan penting yang dibuatnya.

“Wujud ketidakseimbangan kuasa dengan adanya perdana menteri. Sebagai alternatif, mungkin seorang penjawat awam seperti wakil dari Jabatan Perdana Menteri boleh berada dalam lembaga pengarah.”

Semalam, Dr Mahathir mempertahankan pelantikannya sebagai pengerusi Khazanah dengan berkata, ia adalah tanggungjawabnya untuk mengembalikan dana kekayaan negara itu kembali ke landasan betul.

Tetapi, Aira berkata, semak dan imbang Parlimen untuk badan seperti Khazanah akan memastikan ketelusan dan akauntabiliti di tahap tinggi.

Beliau memberi contoh dana pencen kerajaan Norway yang dikenali sebagai “Dana Minyak” dan diuruskan Kementerian Kewangan yang perlu bertanggungjawab kepada Parlimen Norway.

“Di bawah Dana Minyak, semua orang boleh melihat dan meneliti setiap pelaburannya di laman webnya.

“Semuanya didedahkan, seperti mandat yang diberikan selaku dana untuk kepentingan rakyat Norway. Malaysia patut cuba mencontohinya.”

Pensyarah Universiti Malaya, Prof Edmund Terence Gomez bagaimanapun berkata, kebiasaannya, menteri kewangan dan perdana menteri perlu menganggotai lembaga pengarah Khazanah.

Pakar mengenai politik dan korporat Malaysia itu menyifatkan pelantikan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali sebagai ahli lembaga pengarah adalah janggal, tetapi “tidak salah sama sekali” kerana Khazanah berurusan dengan perkara berkaitan ekonomi.

Katanya, Khazanah boleh dikeluarkan daripada Menteri Kewangan Diperbadankan dan diletakkan dalam kementerian lain.

“Ketika ini, Khazanah masih di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan. Jika menteri kewangan tidak berada dalam lembaga pengarah Khazanah, kemungkinan besar beliau tidak tahu apa yang dilakukan lembaga pengarah Khazanah.”

Sebelum ini, Gomez membantah ahli politik mengetuai badan berkanun dan yarikat berkaitan kerajaan (GLC), kecuali mereka berbuat demikian dalam kapasiti menteri atau kerajaan.

Centre for a Better Tommorrow (Cenbet) berkata, walaupun ahli lembaga pengarah Khazanah yang baru adalah “orang berkaliber”, mereka tidak sepatutnya terdiri daripada ahli politik atau Kabinet kerana mereka akan terdedah kepada liabiliti yang boleh ditangani pemimpin korporat dengan cara lebih baik.

“Dana kekayaan negara patut dikendalikan seperti syarikat lain dan ini bermakna pertimbangan politik perlu dikecualikan daripada lembaga pengarah,” kata Cenbet dalam satu kenyataan kepada FMT.

Menurutnya, jika ada tujuan politik khas untuk dana itu, ia perlu dinyatakan dengan jelas sebagai sebahagian misi untuk diketahui dan dilaksanakan pihak pengurusan, serta bertanggungjawab kepada rakyat.

“Dengan adanya profesional dalam lembaga pengarah, kerajaan boleh mengkritik lembaga pengarah jika berlaku salah urus.”

Katanya, demokrasi matang di seluruh dunia mengelakkan amalan melantik ahli politik menguruskan pelaburan dibiayai awam dan Malaysia perlu mengelakkan satu lagi kegagalan atau misi menyelamat disebabkan campur tangan politik.

“Ini juga sejajar pembaharuan institusi yang disokong kerajaan baru.”

Isnin lalu, Jabatan Perdana Menteri mengumumkan pelantikan 5 ahli lembaga pengarah baru, iaitu Dr Mahathir sebagai pengerusi, menggantikan Datuk Seri Najib Razak yang meletak jawatan pada 31 Mei lalu.

Azmin bersama ahli Majlis Penasihat Kerajaan, Tan Sri Mohd Hassan Marican, bekas timbalan gabenor Bank Negara, Dr Sukhdave Singh dan bekas pengarah eksekutif Suruhanjaya Sekuriti, Goh Ching Yin pula dilantik sebagai ahli lembaga pengarah Khazanah.