Dr M, Anwar tak muncul di malam terakhir kempen Sg Kandis

Hampir 1,000 menanti kedatangan pimpinan besar PH di malam kempen terakhir.

KLANG: Pengerusi Tun Dr Mahathir Mohamad dan Ketua Umum Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak kelihatan di malam terakhir kempen Pakatan Harapan di Taman Andalas, DUN Sungai Kandis, yang akan mengundi esok pagi.

Selain mereka, turut tidak kelihatan ialah Presiden Amanah, Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan veteran, Lim Kit Siang, dan Naib Presiden Rafizi Ramli.

Mereka sepatutnya hadir mengikut aturcara yang diterima media. Difahamkan tiada langsung slot rasmi untuk Dr Mahathir sepanjang 14 hari PH berkempen di Sungai Kandis.

“Kita mempunyai sebuah pentadbiran yang kuat, stabil dan adil kepada semua rakyat tanpa mengira bangsa,” kata Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali kepada hampir 1,000 hadirin yang hadir malam tadi.

“Hari ini ada satu lagi pilihan, walaupun Umno main lagi ‘bagilah 1 kerusi sahaja pun’, tapi kita tidak boleh beri walau 1 kerusi pun kepada ‘perompak’,” katanya.

FMT difahamkan Dr Mahathir mempunyai program lain di Langkawi, yang dirancang awal, manakala Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail memberitahu Anwar tidak dapat hadir kerana tidak sihat.

Turut hadir ialah Menteri Besar Selangor Amirudin Shari, Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun dan bekas Adun Sungai Kandis Dr Xavier Jayakumar.

“Lokman Adam bukan lawan ustaz Zawawi jika nak dibandingkan dari segi keperibadian,” kata Amirudin  kepada hadirin.

Hadirin yang ditemui FMT tidak terguris tidak dapat bertemu perdana menteri.

“Tun dah jadi perdana menteri, beliau punyai tugas yang lebih besar, kami faham,” kata seorang pengundi, Abdul Razak.

Seramai 51,217 pengundi bakal menunaikan tanggungjawab esok, di 19 pusat mengundi yang akan dibuka 8.00 pagi hingga 5.30 petang.

SPR menyasarkan 80% pemilih keluar mengundi pada PRK DUN Sungai Kandis yang melibatkan peruntukan kira-kira RM1.4 juta.

DUN Sungai Kandis mempunyai 51,230 pengundi berdaftar dengan pengundi biasa seramai 51,217 dan 13 pengundi tidak hadir kerana berada di luar negara.

Daripada 51,230 pemilih berdaftar itu, 24,998 lelaki (48.8%) dan 26,232 wanita (51.2%).

Dari segi komposisi kaum pula, 71.34% pengundi berdaftar di DUN itu terdiri daripada kaum Melayu, 15.69% kaum India dan 11.75% kaum Cina.