
KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin bersama Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah dan aktivis Mandeep Singh dibebaskan Mahkamah Majistret hari ini daripada tuduhan menyertai himpunan #KitaLawan 3 tahun lalu.
Majistret, Maizatul Munirah Abd Rahman mengarahkan pembebasan 3 tertuduh, selepas timbalan pendakwa raya Noorelynna Hanim Abd Halim memberitahu mahkamah hasrat pihak pendakwaan menarik balik tuduhan terhadap mereka di bawah Seksyen 4(2)(c) Akta Perhimpunan Aman.
Peguam, Vince Tan yang mewakili 3 tertuduh itu menggesa mahkamah memberi pembebasan penuh kepada anak guamnya kerana kes itu berlarutan selama 3 tahun.
Sim, Maria dan Mandeep dihadapkan ke mahkamah pada September 2015 atas pertuduhan menyertai himpunan #KitaLawan pada 28 Mac tahun sama.
Sebuah lagi Mahkamah Majistret melepas, tetapi tidak membebaskan mereka pada Ogos 2017 dan mereka didakwa semula pada Oktober lalu.
Bercakap kepada wartawan selepas dibebaskan, Sim yang juga ahli Parlimen Bayan Baru berkata, mereka tidak sepatutnya didakwa kerana sekadar menyuarakan rasa tidak puas hati mereka terhadap kerajaan terdahulu.
Katanya, pembebasan itu menutup bab kerjaya politiknya sebagai ahli pembangkang.
“Tidak patut wujud penindasan politik dalam era Malaysia baru.”
Sementara itu, Maria yang juga bekas pengerusi Bersih 2.0 berharap tuduhan di bawah Akta Perhimpunan Aman ke atas aktivis dan ahli politik dihentikan.
“Kita tidak perlu Akta Perhimpunan Aman untuk menyekat hak untuk berhimpun. Akta itu perlu dimansuhkan.”
Aktivis, Adam Adli turut dibebaskan daripada pertuduhan menyertai perhimpunan itu, November lalu.
Perhimpunan #KitaLawan menyaksikan ribuan orang berkumpul di Jalan Tun Perak, dekat Dataran Merdeka, dan berarak ke Pusat Beli-belah Sogo di Jalan Tuanku Abdul Rahman.
Perhimpunan itu bertujuan membantah sabitan liwat 2 Datuk Seri Anwar Ibrahim serta pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan yang berkuat kuasa 1 April 2015.