Pergolakan dalam PKR tidak jejas PH, kata penganalisis politik

Kamarul percaya masih terdapat banyak jawatan lantikan dalam parti itu sekalipun ada dalam kalangan pimpinan tertingginya kalah dalam pemilihan akan datang.

PETALING JAYA: Sekalipun berlakunya perebutan jawatan dalam PKR namun ia tidak akan memberi impak besar kepada Pakatan Harapan (PH), kata penganalisis politik Dr Kamarul Zaman Yusof.

Beliau percaya masih terdapat banyak jawatan lantikan dalam parti itu sekalipun ada dalam kalangan pimpinan tertingginya kalah dalam pemilihan nanti.

“Jika ada persaingan antara 2 kem atau berapa kem sekalipun mereka yang kalah masih boleh dilantik ke jawatan lain dalam PKR.

“Dalam PKR, jawatan Naib Presiden pun ada 3, ada setiausaha agung, pengarah pilihan raya dan lain lagi.

“Sekalipun ada perpecahan dalam PKR, parti itu masih dalam PH,” katanya kepada FMT.

Kamarul merupakan bekas pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (Mapan) di Universiti Utara Malaysia (UUM).

Pemilihan PKR yang dijadualkan berlangsung bulan depan dijangka sengit, melibatkan persaingan antara 2 kem diketuai Timbalan Presidem PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang juga menteri hal ehwal ekonomi di bawah pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad, dengan naib presiden dan penggerak penting parti itu, Rafizi Ramli.

Rafizi mengumumkan akan melepaskan jawatan naib presiden untuk merebut kerusi timbalan presiden, yang sekarang disandang Azmin.

Dr Kamarul Zaman Yusof.

Kamarul berkata sekiranya Azmin kalah dalam pemilihan PKR, beliau boleh menyertai mana-mana parti dalam PH jika mahu bertanding jawatan tertinggi.

Katanya, Azmin juga boleh sertai PPBM dan masih berada dalam PH.

“Cuma kita lihat Azmin kini semakin teruk diserang dan tentunya pihak beliau akan melakukan serangan balas,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Kamarul berkata beberapa klip audio menyerupai suara Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tular baru-baru ini dan mendakwa Azmin sebagai “barua” Dr Mahathir dilihat sebagai satu percubaan pihak di luar PH untuk melaga-lagakan pemimpin PKR.

Beliau percaya audio itu bukanlah suara sebenar Anwar dan yakin ia tidak akan menjejaskan PKR.

“Audionya nampak dibuat-buat. Orang yang bercakap itu nampak memaksa-maksa cara bercakapnya supaya menyerupai suara Anwar yang sedang bercakap mengenai Azmin.

“Pergolakan memang wujud, cuma ia tidaklah sampai menjatuhkan. Ini usaha pihak luar untuk menampakkan pergolakkam PKR serius, lebih-lebih lagi parti itu kini sudah jadi kerajaan,” katanya.

Beberapa rakaman audio pendek tersebar di media sosial, yang menyerupai suara Anwar mengecam Azmin sebagai barua Dr Mahathir dan mengakui meminta Rafizi Ramli mencabar timbalan presiden PKR itu.

“Sebab itu saya suruh Rafizi lawan Azmin sebab Azmin nak jadi barua kepada Mahathir,” demikian menurut petikan rakaman yang menyerupai suara ketua umum PKR itu.

Dr Mahathir berkata, beliau tidak tahu-menahu mengenai klip audio menyerupai suara Anwar Ibrahim yang mendakwa Azmin Ali sebagai “barua” beliau.

Perdana menteri itu berkata, beliau juga tidak campur tangan dalam hal ehwal PKR.

Azmin berkata, beliau tidak tahu mengenai rakaman audio itu.

 

Pemilihan PKR: Tian Chua tegur Rafizi ada ‘pasukan’

4 alasan Rafizi mahu jadi timbalan presiden PKR

8 regu dalam pasukan Rafizi hadapi pemilihan PKR