Raj’s Banana Leaf didenda RM5,000, gagal tunjuk maklumat pekerja asing

KUALA LUMPUR: Operator restoran Raj’s Banana Leaf dikenakan denda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret hari ini kerana gagal menunjukkan maklumat penggajian 2 pekerja warga asing mereka.

Pengarah Intercompass Sdn BHd, Muhamad Rizal Abd Rahman, mengaku bersalah atas 2 tuduhan di bawah Seksyen 60K(1) Akta Pekerjaan 1955 di hadapan Majistret Wong Chai Sia kerana gagal menunjukkan maklumat penggajian 2 pekerjanya.

Mahkamah menjatuhkan denda RM2,500 ke atas setiap satu kesalahan. Rizal membayar denda tersebut.

Pegawai pendakwa Mohd Dzahiruddin Mat Salleh @ Ismail meminta mahkamah menjatuhkan hukuman pencegahan kerana kes itu mendapat perhatian awam, tetapi Rizal merayu hukuman lebih ringan dengan mendakwa beliau tidak tahu tentang keperluan melaporkan maklumat pekerjanya kepada pihak berkuasa.

Jabatan Buruh Kuala Lumpur melakukan pemeriksaan ke atas pejabat Intercompass di Bangsar pada Januari tahun ini dan mendapati ia gagal menunjukkan maklumat penggajian pekerja warga Indianya, Suresh dan Rajalingam dalam tempoh 14 hari selepas pengambilan mereka pada 2016.

Intercompass menjalankan perniagaan restoran Raj Banana Leaf di Bangsar.

Pada Mei lepas, video berdurasi 30 saat yang tular di media sosial menunjukkan pekerja restoran berkenaan membasuh pinggan di tepi longkang menggunakan air dari satu lopak di situ.

Jabatan Kesihatan Kuala Lumpur kemudiannya mengarahkan restoran Raj Banana Leaf ditutup tanpa tempoh buka semula.

Kementerian Kesihatan mengeluarkan 3 notis kepada operator restoran berkenaan kerana melanggar Akta Makanan dengan tidak memberikan suntikan anti-tifoid kepada pekerja pengendali makanan, tidak mendaftar dengan kementerian dan gagal memastikan restoran bebas makhkuk perosak.

Restoran berkenaan meminta maaf berhubung isu tersebut.

Raj’s Banana Leaf dikenakan 3 notis kesalahan

Cuci pinggan tepi longkang, Raj’s Banana Leaf di Bangsar diarah tutup