1,400 belon hati di pelancaran Bulan Kebangsaan

GEORGE TOWN: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad malam ini melancarkan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2018 peringkat kebangsaan dalam suasana cukup meriah dan penuh semangat kebangsaan di Padang Kota Lama.

Program yang menandakan permulaan sambutan Hari Kebangsaan negara dengan tema “Sayangi Malaysiaku” dimeriahkan oleh ribuan rakyat yang menyaksikan sambutan yang pertama kali dianjurkan kerajaan Pakatan Harapan selepas mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan persekutuan.

Turut hadir isteri perdana menteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow dan menteri-menteri kabinet serta barisan exco kerajaan negeri.

Program bermula pada 7.45 malam dengan persembahan boria oleh Kumpulan Boria Putera Wawasan diikuti persembahan koir oleh artis Pentarama Jabatan Penerangan, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian negeri dan penari Majlis Kebudayaan Pulau Pinang.

Antara lagu yang dipersembahkan oleh artis Pentarama ialah Assalamualaikum; Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta; Baleilaka; Wei Ho Li Ai Tio Pa Lang; Malam Ini Kita Punya; dan Malaysia Baru.

Upacara membawa masuk Jalur Gemilang pula dilakukan oleh 8 anggota tentera laut diketuai Lt Sobra Mulisa Ahyum dari KD Sri Pinang manakala Pasukan Pancaragam Pusat memainkan lagu Negaraku dan Jalur Gemilang diketuai Lt Mohd Shahram Ramli dari TLDM Lumut, Perak.

Simbolik pelancaran ialah pelepasan 14 belon bersaiz besar ke udara dan meletup mengeluarkan 1,400 belon kecil berbentuk hati.

Turut dipersembahkan ialah lagu tema Hari Kebangsaan ke-61 bertajuk ‘Kita Punya Malaysia’ oleh Bunkface ciptaan Sam Bunkface.

Program malam ini turut dimeriahkan dengan konsert Sayangi Malaysiaku yang menampilkan artis-artis popular tanah air seperti Ella, Siti Nordiana, Suki, Azlan & The Typewritter dan Waris serta pertunjukan bunga api.

Perdana menteri kemudian melepaskan konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang yang akan menjelajah ke seluruh negara membawa mesej kenegaraan dalam inisiatif untuk menggalakkan masyarakat mengibarkan Jalur Gemilang.

Konvoi yang akan berakhir di Putrajaya pada 31 Ogos terdiri daripada 20 kenderaan dan 40 motosikal berkuasa tinggi melibatkan 135 perserta terdiri daripada Jabatan Penerangan, Jabatan Pengangkutan Jalan, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Finas, MalaysiaAktif dan Kelab Motosikal Berkuasa Tinggi ST1300.

Turut menjayakan majlis pada malam ini ialah kumpulan Aktivis Sayangi Malaysiaku iaitu 300 sukarelawan berumur antara 18 dan 35 tahun yang berperanan sebagai kru promosi patriotik, kru media sosial, pasukan sorak, dan pasukan gotong royong.

Pada sebelah pagi berlangsung acara Larian Merdeka sejauh 5 kilometer di Jalan Padang Kota Lama melibatkan 3,000 peserta.

Pelbagai acara diatur bagi memeriahkan program tiga hari bermula 3 Ogos, antaranya pameran “Caring Bridge” yang disertai 80 agensi kerajaan dan swasta serta syarikat telekomunikasi; Konsert Sayangi Malaysiaku; Jualan My Best Buy Fama; Karnival Food Truck; Persembahan Buskers Sayangi Malaysiaku.

Pertandingan Bintang Patriotik; program Zikir Sayangi Malaysiaku; majlis keagamaan di beberapa masjid, gereja dan kuil di sekitar George Town serta Pameran MyMerdeka Sayangi Malaysiaku di Mydin Bukit Mertajam.