Dr M pilih Pulau Pinang mulakan sambutan Merdeka

Acara yang dinamakan “Kibarkan Jalur Gemilang” dan “Konsert Sayangi Malaysia” itu akan bermula hari ini di Pulau Pinang dan bergerak ke Putrajaya untuk sambutan Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos dan berakhir di Kota Kinabalu untuk sambutan Hari Malaysia 2018 pada 16 September depan. (Gambar Bernama)

GEORGE TOWN: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri memilih Pulau Pinang sebagai tuan rumah bagi acara pembukaan sambutan Merdeka tahun ini, kata menteri pusat, Gobind Singh Deo.

Acara yang dinamakan “Kibarkan Jalur Gemilang” dan “Konsert Sayangi Malaysia” itu akan bermula hari ini di Pulau Pinang dan bergerak ke Putrajaya untuk sambutan Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos dan berakhir di Kota Kinabalu untuk sambutan Hari Malaysia 2018 pada 16 September depan.

Gobind berkata, acara berskala besar itu akan disiarkan secara langsung melalui saluran TV1 oleh RTM, dan penonton boleh menyaksikan kehadiran Dr Mahathir, timbalan beliau Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail serta pimpinan Pakatan Harapan lain.

Penonton juga akan dihidangkan dengan konsert kumpulan Bunkface menyayikan lagu tema Merdeka bertajuk “Kita Punya Malaysia” dan lagu popular mereka yang lain. Dilaporkan Dr Mahathir sendiri memilih lagu tersebut.

Gobind ditemui ketika menghadiri latihan acara berkenaan di Esplanade malam tadi.

Acara berkenaan dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia diketuai beliau.

Tema sambutan Hari Merdeka bagi tahun ini ialah “Sayangilah Malaysiaku”.