Dr M: Taman tema dapat tarik pelancong berterusan ke Langkawi

Menurut perdana menteri, penganjuran acara antarabangsa seperti LIMA yang diadakan sejak 1990-an berjaya menarik jumlah pelancong yang ramai tetapi hanya berlaku dalam beberapa hari. (Gambar Bernama)

LANGKAWI: Taman tema dapat menjadi satu lagi produk yang boleh dimajukan di Langkawi untuk menarik lebih ramai pelancong sepanjang masa di pulau ini, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini.

Katanya, pulau ini masih mempunyai keluasan tanah mencukupi untuk digunakan bagi memulakan projek seumpama itu dan beberapa syarikat Malaysia sudah menunjukkan keupayaan untuk melaksanakannya.

“Ramai sudah memasuki bidang ini (mengusahakan taman tema) dan mereka telah berjaya mendapat sambutan yang baik,” katanya ketika berucap merasmikan Langkawi Nature Park, sebuah taman semulajadi yang menjadi tarikan pelancongan terbaru di pulau ini.

Menurutnya penganjuran acara antarabangsa seperti Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) yang diadakan sejak 1990-an telah berjaya menarik jumlah pelancong yang ramai tetapi ini hanya berlaku dalam beberapa hari sahaja.

“LIMA hanya diadakan untuk 4 hari sahaja. Kita mahukan projek pelancongan yang boleh menarik ramai pelancong sepanjang tahun dan ini dapat dilakukan melalui projek taman tema,” katanya.

Dr Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi berkata kerajaan pimpinannya mempunyai beberapa perancangan untuk menarik lebih ramai pelancong ke pulau ini.

Antaranya penyediaan kemudahan untuk produk pelancongan di kawasan pergunungan dan pulau di sekitar Langkawi.

Beliau berkata kawasan paya bakau di sini juga menjadi tarikan unik dan perlu disediakan dengan kemudahan sesuai untuk membolehkan pelancong menikmatinya.

“Kawasan ‘mangrove’ (paya bakau) ini akan kita cuba terus kekalkan tetapi kita perlu adakan banyak lagi kemudahan untuk pelancong. Kalau (paya bakau ini) menarik tetapi tidak dapat dilihat, tiadalah gunanya,” katanya.

Dr Mahathir yang diiringi isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, turut dibawa melawat sekitar kawasan taman itu yang memiliki lebih 80 spesies haiwan dari dalam dan luar negeri.